fbpx
Politik

Sokongan bersyarat UMNO buat Muhyiddin

UMNO akan terus memberi sokongan kepada kerajaan baharu dengan meletakkan beberapa syarat sebagai panduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac 2020 yang lalu, semata- mata sebagai suatu tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus terbelenggu dengan krisis politik, lantaran terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan apabila Tun Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 21 Februari 2020.

UMNO, katanya, akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin sehingga PRU ke 15 berasaskan beberapa panduan berikut :-

i. Kerajaan baharu ini harus memastikan aspirasi rakyat benar- benar direalisasikan.

ii. Kerajaan baharu ini melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama, kenegerian dan darjat.


iii. Kerajaan baharu harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa termasuklah melakarkan pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak Covid-19.

iv. Kerajaan baharu tidak sewajarnya mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan PH terdahulu dalam menguruskan isu- isu yang menyentuh sensitiviti hubungan kaum negara ini.

Selain itu, kata Zahid, demi memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan agama dan negara, beberapa tindakan segera harus diambil oleh kabinet baharu di bawah Muhyiddin termasuklah:-

i. Menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan salahlaku dan penyelewengan PH terhadap kerajaan BN dan Pengurusan Tabung Haji terdahulu.

ii. Menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset- aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat termasuklah Tabung Haji, Khazanah Nasional, LTAT dan semua Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

iii. Demi memenuhi prinsip Rule of Law yang sebenar, UMNO mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan 3 lebuhraya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM 6.3 bilion.

iv. Menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan Kes Pembunuhan yang menyayat hati melibatkan anggota Bomba, Allahyarham Adib.

v. Membatalkan agenda kerajaan PH untuk menubuhkan IPCMC yang sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas dan tanggungjawab pihak Polis DiRaja Malaysia.

vi. Membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

BACA JUGA: Ahmad Maslan dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO

UMNO, kata Zahid, akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai agen semak dan imbang (check and balance) terhadap kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.

Zahid berkata, UMNO juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan PAS dan juga memperkukuhkan Barisan Nasional bersama rakan-rakan komponen MCA, MIC dan PBRS.

“UMNO terus komited untuk mempertahankan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin selama mana aspirasi rakyat dipelihara dan memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dijaga sehingga PRU ke 15 akan datang,” kata Zahid dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Khas UMNO hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button