NasionalParlimen

PAC puas hati Prosiding Pengurusan Wabak Covid-19

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengadakan Prosiding Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personal Protective Equipment (PPE) yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2: Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan.

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini prosiding ketiga membabitkan isu ini, dan hadir bagi memberikan penjelasan dan keterangan adalah Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Izaddeen Daud, Pengerusi PHARMANIAGA dan Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff, Pengerusi, Exco PHARMANIAGA.

“Prosiding pertama telah diadakan pada 15 Jun 2023, membabitkan Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan)

“Manakala, prosiding kedua telah diadakan pada 22 Ogos 2023. Jawatankuasa ini telah mendengar keterangan dan penjelasan daripada Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min dan Dato Sri Mohd Shafiq Abdullah, Mantan Ketua Setiausaha (KSU) KKM, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Mantan Ketua Pengarah Kesihatan serta Datin Seri Dr. Asmah Samat, Mantan Ketua Cawangan Perkembangan Perkidmatan Perubatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selepas mendengar penjelasan dan keterangan daripada saksi-saksi yang hadir dalam prosiding hari ini, PAC membuat keputusan untuk meneruskan prosiding keempat berhubung isu ini dengan memanggil mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam serta mantan KSU KKM, Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min.

Katanya, prosiding ini dijadualkan diadakan pada 21 September, Khamis depan.

“PAC memerlukan keterangan dan penjelasan daripada Datuk Seri Dr Wee memandangkan nama beliau disebut dalam prosiding sebelum ini dan untuk berlaku adil kepada beliau, PAC mendengar penjelasan Datuk Seri Dr Wee.

“Tetapi saya tidak akan mendedahkan atas sebab apa, memandangkan prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Surat panggilan mesyuarat kepada saksi-saksi ini akan dikeluarkan hari ini dan saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu ini,” jelas Mas Ermieyati .

Menurut Mas Ermieyati lagi, PAC akan memanggil dua mantan Pengerusi FELCRA Berhad iaitu Dato’ Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Bung Mokhtar bin Radin pada Isnin depan, 18 September bagi memberikan penjelasan dan keterangan berhubung isu FELCRA Berhad yang dilaporkan dalam LKAN 2021 Siri 2: Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

“Buat pengetahuan semua, PAC telah menjalankan tiga prosiding berhubung FELCRA Berhad iaitu pada 27 Jun 2023, 6 Julai 2023 dan 23 Ogos 2023.

“Prosiding Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF),” katanya.

Mas Ermieyati berkata, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, PAC Parlimen ke-15 akan mendapat taklimat setiap 3 bulan daripada MINDEF berhubung kemajuan kapal LCS.

Sehubungan itu, PAC akan memanggil Kementerian Pertahanan pada 3 Oktober ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan Kemajuan Projek Pembinaan LCS bagi bulan Jun 2023 sehingga Ogos 2023, katanya.

“Sebelum ini, PAC telah mendengar perkembangan berhubung projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 pada 10 Jun 2023.

“Pembentangan Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” ujar beliau.

Mas Ermieyati  berkata, setakat ini, PAC Parlimen ke-15 telah memuktamadkan dua laporan iaitu:
i. Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

ii. Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kedua-dua laporan ini dijangka akan dibentangkan pada minggu pertama, mesyuarat ketiga, Parlimen ke-15 2023,” katanya.

Tambah beliau, Prosiding Baharu ke atas Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), PAC sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding ke atas Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Tajuk bagi prosiding ini, kata Mas Ermieyati, akan ditentukan kemudian dan PAC dijangka memulakan prosiding berhubung isu ini pada minggu kedua, mesyuarat ketiga, Parlimen ke-15 2023.

“PAC menuntut jawapan daripada pihak Kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkenaan penyahklasifikasi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung Projek Tukar Tanah di bawah MINDEF.

“PAC telah menghantar surat berhubung perkara ini pada 13 Jun 2023 dan telah menerima surat maklum balas daripada Dato’ Sri Azalina pada 27 Jun 2023.

“Dalam surat tersebut, Yang Berhormat Menteri memaklumkan bahawa perkara ini akan diteliti dan disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum apa-apa keputusan dibuat oleh Kerajaan,” jelas Mas Ermieyati.

Namun setelah hampir 3 bulan, Kerajaan masih belum memaklumkan kepada PAC sebarang keputusan berhubung perkara ini, kata Mas Ermieyati.

“Justeru PAC menggesa pihak Kerajaan supaya mempercepatkan proses menyahklasifikasi memandangkan JKSTUPKK telah pun membentangkan laporan berkenaan kepada PAC Parlimen ke-14 pada 2 April 2019 dan 16 November 2020.

“Ini bagi membolehkan PAC Parlimen ke-15 meneliti semula perkara ini memandangkan Kerajaan telah kerugian lebih RM 500 juta selain kedudukan strategik pertahanan terjejas,” katanya.

Selepas laporan JKSTUPKK Tukar Tanah ini dinyahklasifikasi, PAC akan memulakan prosiding berhubung isu ini bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar . – SM

BACA Perang di Laut China Selatan boleh berlaku jika ketegangan dengan China berlarutan

BACA Buatlah siasatan namun jawapannya tetap sama, TLDM perlukan LCS – Kementerian Pertahanan

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button