Uncategorized

Soalan golongan liberal tak ubah seperti pertanyaan Abu Jahal

‘SAJAT pergi Mekah tak kena panah petir pun. Adakah ini bermakna Allah sayangkan LGBT?’

Itu antara soalan yang dilontarkan oleh segelintir golongan berfahaman liberal berkaitan tindakan seorang lelaki dari Malaysia berpakaian wanita ketika berada di kota suci umat Islam, Mekah.

Persoalan tersebut dijawab oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Sanusi Azmi.

Menurut Dr. Ahmad Sanusi, soalan golongan liberal tersebut tidak ubah seperti yang pernah diutarakan oleh Abu Jahal.

Ia direkodkan di dalam al-Quran bermaksud, ‘Dan ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika sekiranya al-Quran itu adalah benar di sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa” (Surah al-Anfal: 32)’.

Cabaran itu dijawab oleh Allah melalui Surah al-Anfal ayat 33,’ Allah tidak akan sekali-kali menurunkan azab selagi mana engkau (wahai Muhammad) masih berada di sisi mereka. Bahkan Allah tidak akan mengazab mereka selagi mana ada di kalangan mereka yang memohon keampunan.’

Berikut penjelasan penuh Dr. Ahmad Sanusi yang dipetik dari Facebook beliau:

Mengapa liberal memohon azab Allah?

1. Terdapat golongan liberal yang bertanya, mengapa Allah tidak menghantar petir ketika pendokong kemungkaran melakukan kerosakan di Mekah? Tahukah golongan liberal ini bahawa Qurasyh pernah melakukan lebih dahsyat dari itu. Quraysh pernah menghimpunkan segala berhala di dalam Kaabah, bahkan memposisikan patung Hubal di atas Kaabah. Mereka melakukan dosa syirik iaitu kezaliman yang paling besar di sisi Allah, namun Allah tidak mengazab mereka serta merta.

2. Soalan golongan liberal ini tidak ubah seperti yang pernah diutarakan oleh Abu Jahal. Ia direkodkan di dalam al-Quran. Firman Allah:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

“Dan ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika sekiranya al-Quran itu adalah benar di sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa” (Surah al-Anfal: 32)

2.1 Menurut al-Imam Ibn Hajar, soalan ini, atau lebih tepat cabaran ini diutarakan sendiri oleh Abu Jahal, penghulu kemungkaran yang mencabar kebenaran al-Quran. Tindakan Abu Jahal ini kemudian diikuti oleh beberapa pembesar Quraysh yang lain, bertanyakan sesuatu dengan nada mencabar kebenaran al-Quran.

3. Mendengar cabaran tersebut, Allah terus menjawab melalui firmannya:

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Allah tidak akan sekali-kali menurunkan azab selagimana engkau (wahai Muhammad) masih berada di sisi mereka. Bahkan Allah tidak akan mengazab mereka selagi mana ada dikalangan mereka yang memohon keampunan. (Surah al-Anfal: 33)

4. Melalui ayat ini, Allah menjelaskan bahawa keberadaan Rasulullah yang berusaha untuk membimbing kaum Baginda menjadi sebab mengapa Allah menangguh azab. Bahkan ucapan istighfar (permohonan ampun) dan belas ehsan oleh kaum muslimin menjadi salah satu punca mengapa sesuatu azab ditangguhkan.

5. Ini kerana, sekiranya Allah menimpakan azab ke atas sesuatu kaum, maka ia akan turut menimpa semua yang berada dengan mereka. Firman Allah:

وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ

“Dan kalaulah Allah menghitung kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Allah tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak.” (Surah Fatir: 45)

6. Lalu, bagi menghadapi cabaran kafir Qurasyh ini, Allah mendidik Rasulullah agar memberikan jawapan yang positif dengan menjelaskan bahawa Allah itu Maha Pengasih. Mengapa azab yang kamu minta sedangkan rahmat Allah itu luas? Firman Allah:

قُلْ إِنِّي عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّي وَكَذَّبْتُمْ بِهِ مَا عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ إِنْ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلَّهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”. (Surah al-An’am: 57)

7. Bahkan andai sekiranya sesuatu azab atau bukti kebenaran al-Quran itu dipersembahkan dihadapan mereka, insiden itu belum tentu menjamin keimanan mereka terhadap Allah. Al-Quran menjadi saksi bagaimana umat sebelum ini telah didatangkan pelbagai bukti kebenaran ajaran para Rasul, bahkan dijelmakan kepada mereka mukjizat (kejadian yang aneh) dihadapan mereka, namun mereka masih lagi engkar.

8. Sejarah turut membuktikan bagaimana Allah masih memberi ruang kepada beberapa tokoh Qurasyh yang pada awalnya menentang Islam namun akhirnya menerima hidayah dan memeluk Islam.

9. Apa yang lebih hina adalah golongan yang telah dibentangkan dihadapan mereka hujah al-Quran, namun mereka memilih untuk engkar. Itulah azab yang dipakaikan oleh Allah kepada mereka dalam keadaan tidak mereka sedari. Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia

(Visited 426 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button