Belang Bertempat

Chini: Masa terbaik PRU-15, guna lambang BN

SOAL “goodwill” dari Covid-19 sudah habis dah.

Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Barisan Nasional (UMNO, MCA dan MIC), PAS, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa lagi parti tak boleh tunggu lama lagi.

Mereka mesti berkejar untuk supaya disegerakan pilihan raya umum mengejut (snap election). Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) inilah masa terbaiknya – selepas UMNO `sapu bersih’ kedua-dua lawannya dari calon bebas di Chini hari ini.

Seluruh dunia sudah teruk akibat Covid-19. Takkanlah Malaysia boleh terlepas dari bahana pasca pandemik ini – kesan ekonomi, inflasinya, pengangguran dan tentu sekali `suhu panas’ rakyat.

Kemenangan besar BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini bukan kecil impaknya. Lambang BN masih diterima oleh pengundi. Lebih dikenali berbanding lambang atau logo `baharu’ calon-calon bebas.

Majoriti lebih 12,500 undi diraih calonnya, Mohd Sharim Md Zain sudah terang lagi bersuluh inilah lambang yang seharusnya digunakan oleh PN untuk merencanakan pemilikan mandat rakyat dalam PRU-15 nanti.

Bak kata Tok Mat Hasan dari UMNO: “Kita kena ikut pepatan orang putih you must strike while the iron is hot. Walaupun kita tahu kerajaan PN terutama YAB PM Tan Sri Muhyiddin popularitinya tinggi. Tapi populariti tidak kekal lama.

“Orang (Pakatan Harapan) tengah kelam kabut ni. Inilah masanya untuk kita mendapat mandat daripada rakyat. Jangan tunggu musuh sudah kuat.

“Masa musuh tengah lemah itulah masanya mengambil kesempatan. Besok dia dah kuat. Masalah kita. Tun Mahathir dan Anwar dah cium-cium mulut susah kita. Jangan tunggu dia cium mulut.”

Isu penggunaan lambang/logo parti mana yang harus digunakan oleh PN untuk berdepan cabaran PH penting.

Di Sarawak, GPS sendiri masih teraba-raba dalam memperkenalkan identiti mereka. Logo GPS berlambangkan Burung Kenyalang siapa yang kenal berbanding BN Sarawak?

Dikatakan, lambang Kenyalang tak berapa laku digunakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-12 yang akan berlangsung sebelum Mei 2021.

Dalil lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir yang dimenangi oleh MN (UMNO-PAS) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis sudah terbukti BN tidak sahaja mengatasi lawannya, tetapi lebih dari itu, menang bergaya.

Kemenangan BN di PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 contohnya digambarkan bukan sahaja mencerrminkan kekuatan MN semata-mata, tetapi bukti MN telah terlajak laris diterima oleh masyarakat semua kaum.

Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahannya berjumlah 524 undi dalam PRU-14.

Walaupun Muhyiddin ada approval rating sekitar 78 peratus dari keupayaan membendung penularan Covid-19, penyokongnya atau ahli Bersatu tak boleh `berkepak’.

Pengiktirafan buat presiden Bersatu itu untuk dirinya (Muhyiddin) sahaja. Tetapi bukan untuk keseluruhan Bersatu. Tidak ada apa yang menakjubkan untuk parti.

Pertengahan tahun 2021 mahu tak mahu kita harus akui semua negara termasuk Malaysia akan berhadapan cabaran ekonomi yang kian memburuk.

Semasa UMNO-PAS menaruh keyakinan tinggi untuk mengembalikan mandat rakyat inilah PN harus menggunakan peluang untuk mencipta kemenangan dalam PRU-15.

Kajian empirikal menunjukkan jumlah undi gabungan UMNO-Pas yang bakal diperoleh. Persaingan di kerusi Parlimen Pokok Sena kawasan Datuk Mahfuz Omar misalnya, berdasarkan keputusan semasa PRU-14, cantuman undi diraih calon UMNO dan PAS mencapai 41,791 undi berbanding PH, 28,959 undi.

Di Titiwangsa, cantuman undi UMNO-Pas memperoleh 26,546 undi berbanding PH, 23,840. Majoriti undi diraih MN adalah 2,706.

Senario hari ini juga sudah berubah. Dulu orang UMNO ada yang tidak keluar mengundi. Jangan dilupakan pengundi 21 tahun ke atas yang pertama kali mengundi. Kohort 1.75 juta setiap tahun. Hari ini terdapat 3.5 juta pengundi baharu – 21 tahun ke atas.

Dengan pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua, Belang yakin pengundi muda 21 tahun ke atas yang dikatakan anti establisment kini lebih selesa dengan kerajaan.

PN tidak ada masa lagi. PRU-15 mesti dilakukan sebelum November ini.

Ya, ketika masih ada kesegaran rakyat terhadap kerajaan mesra rakyat ketika ini.-SM

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button