Politik

Jangan ketingglan dalam Gelombang Pendemokrasian Anak-Anak Muda

Pengundi muda jadi ‘game changer’ politik negara

PERSOALAN yang amat penting pada hari ini adalah berkaitan dengan pengundi-pengundi muda berumur 18 hingga 21 tahun yang kini dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) nanti.

Jumlah keseluruhan pengundi untuk PRU15 berjumlah 21 juta orang manakala pengundi muda ini berjumlah sekitar 4 juta orang.

Penurunan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 dan pendaftaran pemilih automatik pada Disember 2021 memudahkan golongan muda melibatkan diri dalam politik dan membuka dinamik Lanskap Politik yang amat berbeza.

Walau bagaimana pun pengundi muda berusia antara 18 ke 20 tahun ini dilihat sebagai tidak matang dengan isu-isu politik kerana kurang diberikan pendedahan politik serta mudah dipengaruhi dengan isu-isu bermusim dan tular di media sosial.

Oleh itu, parti politik mana yang dapat menarik orang muda akan memberi kesan positif kepada keputusan PRU15 dan akan memberi kesan besar kepada Kerajaan akan datang.

Adalah juga dilihat pengundi-pengundi muda ini, cara mereka berfikir jelas kelihatan berubah-ubah pada bila-bila masa mengikut isu semasa.

Oleh yang demikian, parti-parti politik perlu melihat kepada dimensi kehendak hidup anak-anak muda iaitu:

(i). Isu Pendidikan mereka

(ii).Isu Ekonomi untuk anak muda termasuk peluang pekerjaan

(iii). Keperluan sosial yang lain

Generasi muda ini kelihatan tidak terikat dengan mana-mana ideologi tertentu termasuklah Ketuanan Melayu dan sebagainya.

Walau bagaimana pun mereka terdedah dengan isu-isu politik di media sosial. Maka mana-mana parti politik yang berjaya mempengaruhi minda anak-anak muda ini melalui media sosial akan membentuk sikap pengundi muda ini.

PERATUS KELUAR MENGUNDI

Peratus keluar mengundi untuk golongan berumur 21 hingga 69 tahun untuk PRU tahun 2013 mencatat peratusan 84% hingga 85.7%.

Dan pada PRU14 (2018), mencatat peratusan 80.1% hingga 84.4%.

Ini amat berbeza dengan United Kingdom (UK) yang mana kadar keluar mengundi umur 18-21 tahun dan 25-34 tahun adalah sekitar 50%.

Manakala pengundi berumur 35-44 tahun, keluar mengundi 60% dan pengundi berumur 45-54, peratus keluar mengundi adalah 70%.

Kajian di UK dilakukan oleh British Election Study 2019 ini jelas menunjukkan bahawa jurang pengundi muda dan tua yang keluar mengundi di negara maju seperti di United Kingdom amat jauh berbeza dengan Malaysia.

Di Malaysia, jumlah keluar mengundi antara pengundi muda dan tua adalah lebih kurang sama.

GAME CHANGER

Tidak dapat dinafikan pengundi muda dan belia merupakan Game Changer dalam mencorakkan hala tuju politik Malaysia.

Terdapat 4 perkara utama yang perlu diberi pertimbangan kepada pengundi muda iaitu:

(i). Sudah sampai masanya, politik negara keluar daripada perseteruan (persaingan) politik lama. Dari dulu sehinggalah ke hari ini, politik negara masih lagi berkisar kepada watak-watak lama.

Malaysia memerlukan watak-watak politik baru.

Negara ini perlukan nafas baru. Negara perlu pemimpin baru bukan watak lama yang memiliki beban sejarah dan pergelutan politik lama yang tiada berkesudahan.

(ii). Banyak isu negara hari ini melibatkan anak muda. Anak muda menerima kesan langsung dari sebarang dasar Kerajaan yang digubal. Lebih-lebih lagi semasa krisis kesihatan dan ekonomi, post pandemik ini.

Oleh yang demikian, anak muda harus dilibatkan dari awal lagi iaitu mengundi ketika berumur 18 tahun, menjadi calon pilihan raya umum dan memegang jawatan penting dalam Kerajaan di usia yang muda.

Ini bagi memastikan isu-isu yang diangkat selari dengan keperluan generasi anak Keluarga Malaysia.

(iii). Hanya anak-anak muda ini menjadi harapan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran di masa hadapan.

Sebagai contoh, perubahan ekonomi dunia, kepesatan teknologi, pandemik kesihatan, food security dan isu Climate Change.

(iv). Kerajaan juga perlu mempunyai naratif-naratif serta perubahan struktur Kerajaan yang baru.

Kerajaan tidak lagi boleh berada di takuk yang lama. Sebagai contoh, Kementerian Belia dan Sukan sudah tidak lagi sesuai dicantumkan sebagai satu kementerian.

Menteri-Menteri Belia dan Sukan terdahulu kelihatan lebih mementingkan prestasi Sukan Negara daripada isu-isu belia dan anak muda. Sudah sampai masanya, Kementerian Belia dan Sukan dipisahkan.

Manakala Kementerian Pengajian Tinggi kelihatan seolah-olah satu kementerian yang tidak mempunyai dasar yang khusus bagi membentuk Dasar Pengajian Tinggi kerana universiti-universiti awam negara rata-rata mempunyai autonomi menjalankan pentadbiran mereka sendiri dengan dibantu oleh Satu Lembaga Universiti (University Board of Governors).

Di universitilah anak-anak muda berumur 18 hingga 25 tahun berkumpul untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Masters dan PhD.

Maka jelas kelihatan perlu ada Kementerian yang baru diperkenalkan dimasa hadapan yang melibatkan Belia dan Universiti iaitu  Kementerian Belia dan Pengajian Tinggi.

Agar pembinaan Modal Insan anak-anak muda dan Belia ini dapat dibentuk ketika mereka berada di Kolej dan Universiti.

Sekiranya cadangan ini menjadi kenyataan, Kerajaan juga perlu dilihat melantik seorang Timbalan Menteri Belia dan Pengajian Tinggi, dari kalangan anak-anak muda (Ahli Dewan Rakyat atau pun Dewan Negara) berumur di antara 21 hingga 30 tahun agar mereka ini menjadi Suara Anak Muda dalam pentadbiran Kerajaan.

Setiausaha-Setiausaha Politik Menteri dari kalangan anak-anak muda juga perlu diteruskan seperti mana pada suatu ketika dahulu Tun Musa Hitam melantik seorang anak muda menjadi Setiausaha Politik beliau bernama Shahril Samad (kini, Tan Sri Shahril).

Sekiranya ini tidak dilakukan dalam waktu terdekat ini, negara akan tertinggal Gelombang Pendemokrasian Anak-Anak Muda pada masa hadapan. – SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Dato' Saiful Bahar

Penulis merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2008-2009), bekas Setiausaha Sulit Kanan kpd. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2009-2013). Beliau juga bekas Penasihat Khas kpd. Menteri Peladangan dan Komoditi (2016-2018). Pernah bertugas dengan 3 Menteri dan seorang Timbalan Menteri serta telah berkhidmat di 8 Kementerian sepanjang 18 tahun di Putrajaya. Ketika ini, beliau merupakan Penganalisa Politik dan Polisi Kerajaan untuk Badan Bebas dan News Portal.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button