Nasional

SME Bank sasar peningkatan jualan eksport usahawan PKS melalui BEP

SME Bank menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM23 juta bagi keseluruhan peserta Business Eksport Program (BEP) yang dijalankan secara usaha sama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank dan MATRADE.

Seramai 11 orang usahan PKS yang juga peserta BEP telah dibawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022 yang berlangsung serentak dengan Ekspo Dubai 2020 dan Gulf.

Ketua pegawai Strategik Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee berkata, selain daripada mencari peluang melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa, 11 orang usahawan PKS itu juga akan mencari peluang untuk menarik pelabur ke dalam syarikat masing-masing.

Tambahnya, ianya adalah antara objektif utama penyertaan mereka di bawah EAM yang turut dilancarkan di Dubai oleh Datuk Suraini Ahmad, Ketua Setiausaha MEDAC pada 13 Februari lalu.

Menurutnya, 11 buah syarikat tersebut adalah daripada sektor makanan dan minuman, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan.

“SME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program ini sejak tahun 2016 sehingga 2019 di mana sebelum ini ia dikenali sebagai Best Exporters dan merupakan kolaborasi antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.

“Sebanyak 73 buah syarikat tempatan telah menyertai program tersebut dan mencatatkan peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta, 55 buah syarikat telah berjaya meningkatkan hasil eksport, 19 buah syarikat telah menjadi pengeksport baharu dan 13 buah syarikat telah mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta,” katanya

Menurut Hardee, BEP merupakan sebuah program intervensi berstruktur yang diletakkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

“Program tersebut menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas.

“BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi dengan memudahkan cara usahawan PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport. -SM

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button