Ekonomi

SME Bank merekodkan prestasi cemerlang pada tahun 2020

Pelaksanaan mandat dan adaptasi pendigitalan sumbang prestasi cemerlang SME Bank

Pelaksanaan mandat serta adaptasi pendigitalan yang dilakukan oleh SME Bank tiga tahun lalu telah menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM134.8 juta walaupun pihak Bank menghadapi cabaran luar biasa  pada tahun kewangan 2020. Pada tahun 2019, SME Bank mencatatkan PBT sebanyak RM213.9 juta.

Pengerusi SME Bank, Dato’ Seri Nazir Ariff berkata, “SME Bank memulakan tahun 2020 dengan momentum yang positif apabila pihak Bank mempertingkatkan pelaksanaan transformasi untuk menjadi sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang memberi penekanan terhadap pelanggan dan pendigitalan. Walaupun menghadapi cabaran, SME Bank telah berjaya mencapai sasaran kewangan dengan meluluskan pembiayaan bernilai RM2.8 bilion kepada 2,030 orang usahawan PKS sepanjang tahun 2020. Daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan, 50.4% adalah untuk PKS kategori kecil dan 36.6% adalah untuk PKS bersaiz sederhana. Tiga sektor utama yang menerima kelulusan ini ialah Perdagangan Borong & Runcit dan Restoran & Hotel pada kadar 26.7%, Pembinaan pada kadar 17.3% dan Pembuatan pada kadar 16.8%.”

“Platform Digital PKS Kebangsaan yang dilancarkan pada tahun 2019 menyaksikan SME Bank memperkenalkan aplikasi ScoreXcess dan ODELA yang membolehkan SME Bank membantu pelanggan kami ketika mereka menghadapi cabaran pada tahun 2020. Sehingga 31 Disember 2020, ODELA, sebuah platform digital B2B telah mempunyai 848 buah produk yang tersenarai di platformnya dan mencatatkan nilai transaksi lebih daripada RM4.67 juta. ScoreXcess yang memudahkan aplikasi pembiayaan mikro di bawah satu platform menyaksikan seramai 1,010 PKS mengemukakan permohonan pembiayaan bernilai RM19.87 juta,” tambah Dato’ Seri Nazir Ariff.

 


Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Sebagai sebuah IKP yang diamanahkan untuk membangunkan sektor PKS negara, penting bagi kami untuk memastikan kelangsungan dan kemampanan usahawan PKS untuk terus beroperasi. Oleh itu, SME Bank telah mengambil pendekatan proaktif dengan menawarkan bantuan kepada pelanggan untuk membantu mereka menghadapi cabaran kewangan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Selain daripada bantuan moratorium automatik yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia, SME Bank adalah yang terawal dalam memperkenalkan lanjutan moratorium bersasar di bawah Program Kemudahan PKS (SRP) yang memanfaatkan 3,084 orang pelanggan SME Bank yang layak dengan jumlah pembiayaan bernilai RM4.1 bilion.

Sehubungan itu, SME Bank telah melancarkan SRP 2.0 pada bulan Mac 2021 di mana bantuan pembiayaan bersasar telah dilanjutkan sehingga September 2021 dan tumpuan diberikan kepada sektor-sektor kritikal yang terjejas. Sebagai persediaan selepas bulan September dan seiring dengan mandat SME Bank untuk membimbing dan membangunkan sektor PKS, kami telah mengambil langkah proaktif untuk bertemu dengan usahawan PKS bagi meninjau bagaimana bantuan berterusan boleh diberikan apabila kita memasuki fasa pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19.”

“Bantuan tambahan dalam bentuk penangguhan dan potongan kadar sewa juga diberikan kepada penyewa Kompleks Premis Usahawan (EPC) SME Bank. Seramai 251 usahawan PKS di 373 buah lot EPC menikmati pengecualian bayaran sewa selama enam bulan  bermula pada bulan April 2020 hingga September 2020 dan potongan 50% dari kadar sewa bermula pada bulan Oktober 2020 sehingga Disember 2020. Potongan ini dilanjutkan sehingga bulan Mac 2021. Sepanjang bulan April 2020 hingga Mac 2021, penangguhan dan potongan yang kami berikan kepada semua penyewa adalah bernilai RM6.1 juta. Penyewa EPC juga berpeluang mengikuti program bimbingan dalam talian percuma iaitu SME Bank Business Strategic Series (SBSS) yang dijalankan oleh anak syarikat kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), untuk membantu mereka meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang betul dalam menguruskan operasi dengan lebih berkesan terutama dalam keadaan perubahan landskap ekonomi akibat norma baharu ini,” kata Aria.

Aria juga berkata, “Pihak Bank juga telah menawarkan berbagai bantuan di bawah pakej rangsangan ekonomi Kerajaan, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) serta bantuan pembiayaan yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Di bawah pakej rangsangan PRIHATIN, SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM4.69 bilion dan RM305.5 juta lagi di bawah PENJANA. Bagi inisiatif PEMERKASA tahun 2021, SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM200 juta. Selain itu, SME Bank juga terlibat dalam inisiatif Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) oleh BNM.”

Selain memberi tumpuan kepada menyokong PKS untuk kekal bertahan, SME Bank juga terus memainkan peranannya dalam menyampaikan hasrat Kerajaan melalui peruntukan Belanjawan 2020. SME Bank memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta untuk MySMELady, sebuah kemudahan pembiayaan yang khusus untuk memperkasakan usahawan wanita dalam mengembangkan perniagaan mereka. MySMELady membolehkan mereka memohon pembiayaan untuk perolehan aset atau modal kerja, dengan pembiayaan hingga RM3.0 juta. Sehingga 31 Disember 2020, sembilan orang usahawan telah menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM7.9 juta.

Di samping itu, SME Bank juga mensasarkan untuk membangunkan usahawan  jaguh serantau di kalangan PKS Bumiputera melalui skim pembiayaan Jaguh Serantau dengan dana yang diperuntukkan sebanyak RM300 juta selama dua tahun, dari tahun 2020 sehingga 2021.  SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM23.5 juta setakat 31 Disember 2020 di bawah skim ini.

Dari sudut peranan pembangunan usahawan pula, Aria berkata, “CEDAR terus menawarkan program pembangunan dan latihan keusahawanan yang unik dan efektif, walaupun secara dalam talian, kepada para usahawan dari setiap peringkat perniagaan sepanjang tahun lepas. Antara lain, program-program tersebut membolehkan para usahawan untuk belajar semula, tingkatkan kemahiran dan pada masa yang sama mengadaptasikan proses automasi dan pendigitalan. Melalui program latihan ini, kami memberi penekanan terhadap pasaran yang boleh mewujudkan permintaan baharu dan membuka sektor-sektor yang menawarkan peluang lebih baik kepada para usahawan. Terdapat banyak maklumat yang tersedia untuk mereka yang bijak memanfaatkannya. Pada tahun 2020, CEDAR telah menganjurkan sebanyak 1,251 program bimbingan dan latihan yang melibatkan 13,674 orang usahawan.”

Komitmen SME Bank dalam membantu PKS untuk terus maju dan berdaya saing telah diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Asia dan Pasifik (ADFIAP) apabila SME Bank telah menjadi pemenang bagi dua kategori iaitu Anugerah Pembangunan PKS bagi Program Best Exporters dan Anugerah Pembangunan Teknologi untuk Platform Digital PKS Kebangsaan semasa Mesyuarat Agung ADFIAP ke-43 yang diadakan secara dalam talian dari 28-29 Oktober 2020. SME Bank juga telah menerima Anugerah Khas Pembiayaan Tenaga Lestari bagi kategori IKP di Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2020 yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli atas peranan SME Bank dalam menyokong sektor PKS menceburi bidang teknologi hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau serta bantuan pembiayaan lain yang berkaitan. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button