Politik

‘Kerajaan Berkebajikan’ tidak bermakna tolak konsep ‘Negara Islam’

PAS menepis dakwaan Presiden Amanah Mohamad Sabu bahawa PAS menggugurkan ‘Negara Islam’ apabila ia menggunapakai konsep ‘Kerajaan Berkebajikan’.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ‘Kerajaan Berkebajikan’ sebenarnya tidak bertentangan dengan konsep ‘Negara Islam’ yang diperjuangkan PAS dan ia digunakan selepas perbincangan mendalam oleh parti itu.

“Bahkan beliau (Mohamad) juga menerima slogan tersebut. Ia bukan menggantikan atau mengubah dasar perjuangan PAS,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mohamad ketika mendakwa PAS berpisah dengan Pakatan Rakyat bukan kerana hudud tapi nak bersama Umno berkata isu ‘Negara Islam’ selesai pada 2009 apabila PAS setuju menggantikannya dengan ‘Kerajaan Berkebajikan’.

Penerangan itu menyusuli laporan bahawa Hadi ketika berceramah di Johor pada Sabtu lalu mendakwa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana DAP enggan menerima hudud.

Menjawab dakwaan Mohamad bahawa PAS memutuskan hubungan dengan DAP melalui muktamar pada 2015 tanpa perbincangan panjang, Tuan Ibrahim menjawab DAP juga pernah meninggalkan kerjasama lain, misalnya Barisan Alternatif menjelang PRN Sarawak pada 2001.

“Kerana kononnya bimbang dengan gabungan BA, sokongan DAP akan merosot. Ternyata DAP ditolak oleh pengundi di Sarawak. Akhirnya DAP menyertai semula gabungan selepas PRN Sarawak,” katanya.

Tuan Ibrahim menambah sejarah menunjukkan parti yang bergabung dengan DAP akan ditolak oleh pengundi Melayu.

“Lihat sokongan kepada PKR, Amanah bahkan sekarang Umno merosot kerana kerjasama dengan DAP,” katanya.

Barisan Alternatif merupakan gabungan tidak rasmi antara PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia, dan Parti Sosialis Malaysia yang ditubuhkan pada 1998.

Kerjasama rasmi antara pembangkang terbentuk pada 2008 menerusi Pakatan Rakyat, yang dianggotai oleh PAS, DAP, PKR dan Parti Kebangsaan Sarawak.

DAP pada 2015 bertindak memutuskan hubungan dengan Hadi, diikuti Muktamar PAS membuat keputusan membatalkan kerjasama politik dengan DAP pada tahun sama.

Susulan perselisihan itu, Pakatan Harapan dibentuk oleh PKR, Amanah, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu pada 2015. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button