Ekonomi

SME Bank bimbing lebih ramai usahawan asnaf melalui Program ISHRAF 2.0

PROGRAM Keusawanan Asnaf atau ISHRAF, sebuah program khusus pembangunan usahawan Asnaf oleh SME Bank dengan rakan strategiknya kini diperhebatkan lagi dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang akan melibatkan usahawan Asnaf dari enam buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program ISHRAF ialah satu inisiatif pembangunan usahawan Asnaf bersaiz mikro dan kecil yang membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan menggunakan teknologi digital. Selain itu, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama dan konsep Keluarga Malaysia mereja juga disasarkan untuk keluar daripada kategori penerima zakat kepada pembayar zakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Muslimin bin Yahya berkata, “Melihat kepada kejayaan peserta Program ISHRAF 1.0 di mana 20 orang peserta telah berjaya mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak lebih RM1.35 juta bagi tempoh satu tahun menyertai program ini, ISHRAF 2.0 diluaskan skopnya dengan penyertaan daripada 79 orang usahawan Asnaf dari hampir seluruh negara agar lebih ramai mendapat manfaat daripada program ini.”

“Perlaksanaan Program ISHRAF 2.0 melalui kerjasama antara YaPEIM dan SME Bank diharap dapat meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya saing dan berinovatif.” Kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad.

Mengulas lanjut katanya, “Sebelum ini, YaPEIM melalui Bahagian Pembangunan Usahawan aktif dalam membantu para usahawan khusunya mereka yang berstatus Asnaf dengan mewujudkan Inisiatif Khas yang dikenali sebagai Inspirasipreneur Dream sebagai salah satu komponen utama di bawah Program Inspirasipreneur YaPEIM yang mana seramai 4,232 usahawan telah dibantu dengan sasaran keseluruhan 8,600 orang usahawan bakal dibantu. Dengan pemeteraian MoU ini diharap menjadi batu loncatan kepada semua pihak terutama usahawan Asnaf menambah baik perniagaan masing-masing seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, SME Bank berkata, “SME Bank telah menyediakan dana zakat berjumlah RM600 ribu, manakala SME Corp Malaysia turut menyokong program ini dengan menyediakan dana tambahan sebanyak RM190 ribu, menjadikan jumlah keseluruhan dana yang bakal diagihkan kepada peserta program ISHRAF 2.0 adalah sebanyak RM790 ribu. Selain daripada mengikuti program latihan dan bimbingan yang komprehensif, setiap peserta akan diberi RM10 ribu untuk digunakan bagi tujuan pembangunan perniagaan.”

Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) telah dilantik sebagai pembimbing perniagaan yang akan menyediakan latihan dan memantau perkembangan peserta sepanjang program. Topik latihan keusahawanan yang akan dipelajari oleh para peserta termasuk Strategi Pemasaran dan Penjualan, Kemahiran Pendigitalan, Pengurusan Kewangan, Proses & Operasi serta Pengurusan Modal Insan. Antara penunjuk prestasi utama yang perlu dicapai peserta termasuk peningkatan jualan, penambahan pekerja dan produk/perkhidmatan baharu serta adaptasi teknologi.

Program ISHRAF telah memenangi Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Cemerlang daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) sewaktu mesyuarat tahunan ke-44 yang berlangsung pada bulan Oktober 2021.

Majlis pelancaran Program ISHRAF 2.0 dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dan YaPEIM yang berlangsung pada hari ini telah disempurnakan oleh YB Muslimin bin Yahya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta wakil daripada rakan strategic Program ISHRAF. – SM

(Visited 499 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button