BeritaPendidikan

SMAP Labu johan Debat Maya MMU

Oleh HASYIR AFHAM

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Itu peribahasa yang sesuai menggambarkan kejayaan pasukan bahas Bahasa Melayu Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu apabila menggondol gelaran juara dalam pertandingan Debat Maya yang dianjurkan oleh Universiti Multimedia Melaka (MMU).

Pertandingan yang dianjurkan secara dalam talian melibatkan 20 Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah harian itu diadakan pada 10 hingga 12 Julai lalu.

Setelah bertarung di empat pusingan awal, pasukan bahas SMAP LABU yang dibarisi pelajar tingkatan tiga dan empat itu berjaya meloloskan diri ke pusingan akhir sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM1,000 manakala Muqri Hakim Mustazha menggondol gelaran pendebat terbaik pusingan akhir.

Debat Maya MMU yang julung kali diadakan pada tahun ini secara dalam talian merupakan platform baharu bagi pendebat sekolah berinteraksi dengan pihak lawan di hadapan komputer riba atau telefon pintar.

Pasukan bahas SMAP Labu dibimbing oleh guru Bahasa Melayu, Halimah Yaacob dan Alumni Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhamad Shah Izad Saleh.

SMAP Labu pernah mara ke pusingan separuh akhir dalam pertandingan bahas antara Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Rembau tahun lalu dan menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar pada pusingan suku akhir.

SMAP Labu ditubuhkan pada 1982 selepas dicadangkan penubuhannya oleh Pengarah Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan masa itu, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman. -SM

(Visited 673 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button