Ekonomipilihan

PERKESO, TERAJU jalin kerjasama lindungi usahawan Bumiputera

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) meneruskan inisiatif proaktifnya demi memperluas dan memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial melalui satu Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), semalam.

Kolaborasi yang dimeterai secara rasmi ini juga menjadi simbolik kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dan holistik antara kedua-dua organisasi menerusi pelbagai bidang. Ia merangkumi kerjasama dalam Program Social Synergy, melibatkan integrasi dan perkongsian data penerima bantuan TERAJU menerusi Sistem MySynergy, perlindungan keselamatan sosial kepada usahawan Bumiputera TERAJU, perkongsian maklumat mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan di bawah Bajet 2022 yang dilaksanakan PERKESO, intervensi pasaran buruh dan sebagainya.

MoC ini ditandatangani oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Dato’ Md Silmi Abd Rahman. Ia disaksikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO, Encik John Riba Marin dan Encik Mohd Najib Jaafar, Pengarah Penciptaan Kekayaan, Modal Insan dan Penyampaian Perkhidmatan TERAJU.

MoC ini ditandatangani oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Dato’ Md Silmi Abd Rahman. Foto: PERKESO

Menerusi Program Social Synergy ini, lebih 300 rakan strategik yang telah menyertai program ini termasuk TERAJU akan bekerjasama dalam berkongsi atau menyalurkan maklumat prospek-prospek yang berpotensi untuk dibantu oleh rakan strategik yang lain, agar kebajikan mereka sentiasa terjaga dan mengurangkan risiko daripada tercicir menerima bantuan. Langkah ini juga memastikan perluasan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif dan menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia, sejajar  dengan prinsip ‘No wrong door policy’.

Dato’ Md Silmi Abd Rahman berkata “Jaringan keselamatan sosial merupakan salah satu elemen utama yang perlu ada bagi setiap negara terutama di negara-negara maju dan Malaysia tidak terkecuali. Usahasama melalui program keselamatan sosial ini adalah selaras dengan fungsi TERAJU sebagai Penyelaras Utama Agenda Sosioekonomi Bumiputera bertrajektori tinggi, melalui tindakan intervensi strategik, inisiatif dan program berlandaskan bidang keutamaan dalam Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Melalui pelan halatuju 10 tahun, TPB2030 telah mengariskan tujuh (7) Bidang Keutamaan di mana usaha pembangunan sosioekonomi Bumiputera menjadi salah satu strategi utama pemacuan agenda Bumiputera. Strategi ini bermatlamat meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi Bumiputera agar tiada Bumiputera yang terpinggir dan mampu mengurangkan kesenjangan ekonomi di kalangan usahawan Bumiputera. Usahasama ini adalah untuk memastikan usahawan Bumiputera menerima hak keselamatan sosial yang selayaknya bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekaligus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.”

Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed. Foto: PERKESO

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata, “Hampir 13,000 kes membabitkan individu yang memerlukan bantuan telah disalurkan antara sesama agensi yang bernaung di bawah Program Social Synergy ini, sejak 2019. Penyertaan TERAJU sebagai rakan strategik dalam program ini membolehkan matlamat untuk memperluas dan mengukuhkan lagi jaringan perlindungan sosial kepada Keluarga Malaysia dapat direalisasikan, khususnya buat golongan usahawan Bumiputera.”

“Program Social Synergy ini juga adalah antara inisiatif murni kami bagi membantu menyelesaikan permasalahan sosio-ekonomi dan isu kebajikan rakyat Malaysia dengan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak. ‘Ibarat aur dengan tebing’, kerjasama yang terjalin ini saling menyokong dan melengkapi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak.”

Beliau turut menambah, seiring dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 oleh Dewan Negara baru-baru ini, PERKESO juga berhasrat untuk memperluas jaringan keselamatan sosialnya kepada golongan usahawan wanita di bawah TERAJU.

Program Social Synergy PERKESO yang telah dilancarkan pada Ogos 2017, menyediakan satu platform ekosistem keselamatan sosial yang sistematik, komprehensif dan bersepadu buat Keluarga Malaysia menerusi gabungan dan kolaborasi daripada pelbagai rakan strategik merangkumi agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan. Program ini menjadi pusat sehenti yang menawarkan perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia dengan matlamat utama untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Dato’ Md Silmi Abd Rahman. Foto: PERKESO

Program Social Synergy turut disokong oleh Portal Sistem MySynergy iaitu sebuah portal yang dibangunkan secara ‘in-house’ oleh PERKESO dan mengadaptasi penggunaan teknologi ‘blockchain’ untuk perkongsian maklumat dan kes-kes prospek.  Sejak tahun 2019 sehingga kini, statistik menunjukkan hampir 13,000 penyaluran prospek kepada pelbagai agensi melalui Sistem MySynergy telah berjaya dilaksanakan dan seterusnya dibantu menerusi agensi-agensi yang lain.

Seiring dengan konsep ‘No one is left behind’, kerjasama rakan strategik antara PERKESO dan TERAJU ini diharapkan dapat memperluas lagi penyampaian perkhidmatan oleh setiap pihak menerusi bidang kepakaran masing-masing demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia secara inklusif. – SM

Artikel berkaitan > PERKESO dan UNIMAS jalin kerjasama tawar khidmat rehabilitasi dan pekerjaan di Sarawak

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button