Ekonomi

Kumpulan Bank Rakyat umum untung RM1.76 bilion

KUMPULAN Bank Rakyat sekali lagi mengumumkan prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 2023. Kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.76 bilion berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 3.80% atau RM64.48 juta.

Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar.

Walaupun menghadapi kemampatan margin bersih yang berterusan, komitmen teguh Kumpulan untuk kekal berdaya tahan telah membuahkan hasil yang positif dalam tahun kewangan 2023. Prestasi memberangsangkan ini dipacu aktiviti-aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan (CASAIA), serta peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa sejajar dengan aliran industri.

Pendapatan utama Kumpulan melonjak sebanyak 12.90% kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.90 bilion sebelum ini, didorong pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun (Y-o-Y) 3.82% dalam semua segmen perniagaan.

Prestasi Kumpulan yang lebih baik ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan berasaskan fi dan pendapatan lain sebanyak 31.58% atau RM139.21 juta kepada RM580.00 juta berbanding RM440.79 juta pada tahun sebelumnya.

Kumpulan mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 47.85%, lebih rendah daripada purata industri.

Kumpulan terus kompetitif dan menguntungkan bagi tahun semasa dan kekal sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya terbesar di Malaysia.

Peningkatan Aset

Jumlah aset Kumpulan meningkat sebanyak 1.16% atau RM1.36 bilion kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan sederhana ini didorong oleh pertumbuhan kukuh baki kasar pembiayaan, diimbangi oleh aset perbendaharaan yang lebih rendah sebanyak 3.71% selari dengan strategi pengurusan portfolio aset perbendaharaan.

Baki Pembiayaan yang Stabil

Baki kasar pembiayaan mengekalkan trajektori pertumbuhan positif, meningkat sebanyak 3.82% kepada RM83.51 bilion daripada RM80.44 bilion pada tahun sebelumnya. Meskipun persaingan yang sengit, Kumpulan terus mendapat manfaat menerusi pempelbagaian portfolio terutamanya Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Perniagaan-i.

Hasil daripada kepelbagaian ini, segmen pembiayaan runcit Kumpulan meningkat sebanyak 3.22% kepada RM75.77 bilion dan segmen perniagaan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 16.57% kepada RM8.18 bilion.

Kualiti aset Kumpulan kekal baik pada tahun ini dengan kadar pembiayaan terjejas kasar direkodkan pada 2.02%, dengan Kadar Liputan Atas Kerugian Pembiayaan kekal tinggi pada 161.86%, melebihi purata industri 92.00%.

Baki Deposit yang Stabil

Jumlah CASAIA Kumpulan meningkat sebanyak 6.80% kepada RM10.19 bilion berbanding RM9.49 bilion sebelum ini hasil daripada aktiviti pengurusan tunai yang agresif serta aktiviti-aktiviti promosi yang memberi impak sepanjang tahun.

Nisbah CASAIA meningkat kepada 12.55% berbanding 11.16% pada tahun sebelumnya, seiring dengan aspirasi pelan strategik lima tahun Kumpulan (BR25).

Kedudukan Modal yang Mampan

Jumlah dana pemegang saham Kumpulan meningkat sebanyak 4.16% atau RM0.94 bilion kepada RM23.49 bilion berbanding RM22.55 bilion pada tahun sebelumnya berikutan keuntungan bersih Kumpulan yang dibawa pada tahun tersebut.

Pada 31 Disember 2023, Nisbah Modal Berwajaran Risiko dan Nisbah Modal Teras selepas dividen akhir yang dicadangkan masing-masing kekal kukuh pada 24.91% dan 22.88% melebihi keperluan minimum kawal selia serta purata industri, meletakkan Kumpulan sebagai salah satu institusi kewangan terkukuh daripada segi kedudukan modal.

Kumpulan Bank Rakyat sentiasa optimis dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan perniagaan dan pelan strategik jangka panjang.

Fokus utama Bank ditumpukan kepada memanfaatkan potensi yang boleh diteroka dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk anggota dan pelanggan.

Kumpulan juga mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi 148 cawangan Bank Rakyat, 27 Ar-Rahnu X’Change, 4 Rakyat Xcess, 22 Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, 287 Rakyat C.A.R.E serta 982 mesin juruwang automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan mesin cash-in cash-out (CICO).

Di samping itu, orang ramai juga boleh mendapat manfaat melalui talian Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454 serta perkhidmatan perbankan internet www.irakyat.com.my dan Aplikasi Perbankan Mudah Alih iRakyat bagi transaksi perbankan harian. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat umum dividen 15%, dividen istimewa 2%

(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button