Luar Negara

Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) bantu pembangkang di Singpaura

PARTI Tindakan Rakyat (PAP), yeng membentuk kerajaan Singapura sejak kemerdekaan pada 1965, mempunyai sebuah skim untuk memastikan terdapat suara pembangkang di Parlimen.

Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang diperkenalkan 36 tahun lalu adalah sistem keterbukaan dalam menerima pelbagai pandangan mengenai amalan yang dilaksanakan oleh parti pemerintah.

Skim tersebut bermula dengan minimum tiga Ahli Parlimen pembangkang dan maksimum enam dilantik ke Parlimen. NCMP, yang diperkenalkan pada 1984, memberi hak mengundi yang sama dengan Ahli Parlimen dipilih.

Pada Januari 2016, Setiausaha Agung PAP, Lee Hsien Loong merangkap Perdana Menteri sendiri mengumumkan jumlah minimum Ahli Parlimen pembangkang ditambah daripada sembilan kepada 12 orang mulai Pilihan Raya Umum 2020 (PRU2020) yang selesai semalam.

PRU2020 menyaksikan PAP mengekalkan tampuk pemerintahan dengan menguasai 83 daripada 93 kerusi dipertandingkan.

Skim NCMP memastikan terdapat jumlah minimum wakil pembangkang di Parlimen dan selain pandangan pemerintah, pembangkang juga boleh menyatakan pandangan mereka.

Di bawah skim tersebut, calon pembangkang yang kalah dengan peratusan undi tertinggi pada pilihan raya umum, tertakluk kepada minimum 15 peratus undi, boleh ditawarkan kerusi di Parlimen jika kekurangan jumlah minimum calon pembangkang yang dipilih.

Pada PRU2020, Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast mempunyai peratusan tertinggi undi dalam kalangan calon yang kalah apabila meraih 48.31 peratus undi.

Pasukan PSP, dipimpin bekas Ahli Parlimen PAP, Dr Tan Cheng Bock, hanya kalah tipis dengan perbezaan 3.38 peratusan mata berbanding 51.69 peratus undi yang diperoleh PAP di GRC West Coast.

Dr Tan, calon presiden pada 2011, adalah antara 23 calon parti, gagal memenangi sebarang kerusi di Parlimen.

PSP merupakan kumpulan kedua terbesar menampilkan jumlah calon selepas 21 calon dari Parti Pekerja (WP).

Lee mengucapkan tahniah kepada ketua WP, Pritam Singh, atas prestasi parti itu memenangi 10 kerusi pada PRU2020 sambil menambah beliau mengiktiraf pemimpin parti itu sebagai ketua pembangkang.

“Saya tidak sabar untuk bekerja bersama-sama dengan anda,” kata Lee.

Dalam respons, Pritam Singh berkata: “Saya tidak sabar untuk berkhidmat sebagai ketua pembangkang dan akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.”

Selain kerusi kawasan undi perseorangan (SMC) Hougang dan GRC Aljunied, WP kini memiliki kerusi yang baru dibentuk, GRC Sengkang.

Lee berkata beliau kecewa bahawa PAP gagal memenangi GRC Sengkang dengan menyifatkan kekalahan itu  sebagai kehilangan ketara bagi pasukan generasi keempat (4G).

“Tentu sekali saya kecewa PAP kehilangan GRC Sengkang. (Ng) Chee Meng dan pasukan sedar persaingannya sangat hebat. Mereka berjuang habis-habisan. Tetapi pengundi Sengkang telah membuat keputusan dan kami menghormati keputusan mereka,” katanya.

Pasukan Chee Meng, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan juga Dr Lam Pin Min, bekas Menteri Kanan Pengangkutan dan Kesihatan dibarisi Amrin Amin, bekas Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, dan muka baharu, peguam Raymond Lye.

Selain PAP, WP, dan PSP, lapan lagi parti politik lain serta calon tunggal bebas bertanding di 93 kerusi Parlimen menerusi 17 GRC dan 14 SMC di 31 bahagian pemilihan. – BERNAMA

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button