
SKAW 37/2025 Perkukuh Kerjasama Sabah dan ATM
Kota Kinabalu 19 Jun – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin berkenan menghadiri Majlis Makan Malam sempena Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke-37/2025 yang berlangsung malam tadi di The Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Sabah itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir, Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu, Brigedier Jeneral Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Komander Rejimen 512 Askar Wataniah, bersama isteri, Toh Puan Seri Zuriana Ismail.
Majlis itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong dan isteri, Datin Seri Dr. Hajah Nuinda Alias; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Seri Haji Rosli Isa dan isteri, Datin Seri Norwani Muhamad Shariff; serta Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan isteri.
Dalam ucapan aluannya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Sabah, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong aktiviti dan pemerkasaan Askar Wataniah.
“Sebagai negeri yang berhampiran beberapa negara jiran, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. SKAW ini merupakan platform terbaik untuk membincangkan isu-isu keselamatan, logistik dan pentadbiran yang akan memperkasa peranan Askar Wataniah sebagai benteng pertahanan negara,” katanya.
Tambah beliau, keharmonian dan kestabilan negeri penting dalam menjayakan agenda pembangunan di bawah pelan Sabah Maju Jaya, dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia akan terus diperkukuhkan menerusi program seperti ini.
Majlis makan malam itu bukan sahaja menjadi simbol penghargaan kepada para komander Askar Wataniah, tetapi juga wadah mempererat silaturahim antara kepimpinan negeri dan institusi pertahanan negara.
GALERI