EkonomiNasional

Risen Solar Technology labur RM42.2 bilion

RISEN Solar Technology Sdn. Bhd. sebuah syarikat pembangunan dan pengilangan solar cells dan solar modules akan melabur sebanyak RM42.2 bilion, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Syarikat itu, kata Muhyiddin, telah diluluskan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti rekabentuk selain pembangunan dan pengilangan solar cells dan solar modules.

Beliau berkata, pelaburan oleh Risen Solar ini untuk tempoh 15 tahun dari 2021 sehingga 2035 dan dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Kata Perdana Menteri lagi, selain itu, syarikat itu juga akan menjalin kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk pengambilan pelajar secara internship.

“Saya yakin kehadiran Risen Solar ini, sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan solar module akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.

“Kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar,” kata Muhyiddin melalui hantaran di Facebook beliau.

Pagi tadi, Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat secara maya dengan Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy Co. Ltd, Xie Jian.

Mesyuarat tersebut turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

Ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia.

Muhyiddin berkata, dalam sidang maya itu, beliau turut berkongsi dengan  Xie Jian bahawa Kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip mesra pelaburan.

“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini dengan pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur,” katanya sambil menegaskan, akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan lancar.

Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara sekaligus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.

“Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” kata Perdana Menteri. – SM

 

(Visited 453 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button