PolitikUncategorized

Skandal pilihan raya, Menteri Kehakiman Jepun pula letak jawatan

TOKYO – Menteri Kehakiman Jepun menjadi ahli politik kedua yang meletak jawatan dalam Kabinet Perdana Menteri, Shinzo Abe dalam tempoh seminggu berikutan terpalit dengan skandal melanggar peraturan pilihan raya.

Tindakan itu dilakukan selepas isterinya didakwa melanggar undang-undang pilihan raya ketika bertanding untuk kerusi Parlimen.

Katsuyuki Kawai menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Abe semalam.

Majalah mingguan, Shukan Bunshun sebelum ini mendakwa isteri menteri itu, Anri Kawai membayar kakitangan kempennya melebihi jumlah yang dibenarkan undang-undang.

Peletakan jawatan itu berlaku seminggu selepas Menteri Perdagangan, Isshu Sugawara melepaskan kedudukan, susulan sebuah laporan mendakwa beliau memberi hadiah mahal, termasuk ketam dan tembikai kepada pengundi.

Kawai yang menafikan sebarang salah laku berkata, peletakan jawatan itu adalah keputusan terbaik berdasarkan keadaan sekarang.

Sementara itu, Abe memohon maaf kepada pengundi atas pelantikan Kawai dan Sugawara menerusi rombakan Kabinet baru-baru ini.

Menurut beliau, bekas menteri yang bertanggungjawab menangani isu kadar kelahiran rendah, Masako Mori akan menggantikan Kawai sebagai Menteri Kehakiman baharu.

Kabinet Abe mengekalkan tahap sokongan awam sekitar 40 hingga 50 peratus dalam beberapa tahun ini, walaupun timbul skandal politik.

Penganalisis melihat kelemahan pembangkang yang berterusan sebagai punca utama Abe berjaya mempertahankan kedudukannya.

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button