Hiburan

Siti Sarah beri tempoh 48 jam kepada ‘scammer’ atau berdepan tindakan undang-undang

PENYANYI, Siti Sarah Raissuddin memberi tempoh masa selama 48 jam kepada seorang individu untuk meminta maaf dan bertanggungjawab di atas aktiviti penipuan yang dilakukan dengan menggunakan produk milik selebriti tersebut.

Menurut Siti Sarah, jika wanita yang dikenal pasti melakukan aktiviti penipuan itu tidak meminta maaf secara terbuka, tindakan undang-undang akan diambil.

“Wanita itu berusia lingkungan 30an dan merupakan salah seorang penjual tudung saya. Untuk makluman, saya tidak mengambil sebarang tempahan awal untuk tudung kerana semua stok sudah tersedia.

“Tetapi wanita itu telah menjual dan memberitahu pembeli yang tudung tersebut perlu ditempah awal dan dia juga meminta duit daripada pembeli.

“Namun, bila kita semak, memang dia tidak mempunyai sebarang rekod pembelian dengan syarikat kita dan perkara itu diketahui apabila pembeli sendiri menghubungi kita,” katanya dalam satu sidang akhbar yang dilakukan secara maya hari ini.

Menurut Siti Sarah, wanita itu memberikan pelbagai alasan kepada pembeli yang bertanya bila tudung mereka akan sampai dan itu semua hanyalah helah penipuan.

Aktiviti penipuan tersebut juga telah berlarutan sejak dua bulan yang lalu dan Siti Sarah memberitahu perkara tersebut hanya diketahuinya semalam kerana kakitangan syarikat menyorokkan perkara tersebut daripada pengetahuannya disebabkan keadaan Siti Sarah kini yang sarat mengandung.

“Bila diberitahu, saya memang terkejut perkara ini memang saya tidak pernah jangka akan berlaku.

“Hasrat saya untuk buat platform berniaga ini adalah untuk membantu orang menjana pendapatan. Apatah lagi hampir setiap hari akan ada orang mesej saya untuk minta bantuan.

“Saya fikir kalau saya bantu sekali, esok lusa macam mana pula. Sebab itu saya usahakan perniagaan ini untuk sama-sama berkongsi rezeki.

“Tetapi ini pula yang terjadi dan perkara ini amat menyedihkan. Kalau sekali dia (penipu) itu buat saya boleh bertolak ansur lagi dan fikir mungkin ada kesilapan. Tetapi dah berkali-kali dan dia memang berniat untuk menipu duit orang lain,” katanya.

Tambah Siti Sarah, dia sudah mengenal pasti siapa dan lokasi wanita itu berada dan setakat ini, tiada sebarang maklum balas diberikan oleh wanita tersebut.

Semalam, satu laporan polis telah dibuat wakil syarikat Siti Sarah berkenaan dengan isu penipuan ini di Balai Polis Mutiara Damansara. -SM

(Visited 316 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button