Hiburan

Meniti hari untuk bersalin, Siti Sarah dan Shuib tampil lagu duet baharu

BAKAL melahirkan anak keempat tidak lama lagi, Siti Sarah Raissuddin kini muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Semkin Benci Semakin Cinta.

Lagu yang dicipta oleh komposer terkenal Ajai merupakan lagu duet bersama bersama suaminya, Shuib.

Menjadi single kedua pasangan ini, mereka terlebih dahulu pernah muncul dengan lagu Cinta Itu Nyawa yang pernah dikeluarkan pada tahun 2012.

Walaupun tajuk lagu menggambarkan kisah cinta, namun ini bukanlah babak kehidupan yang dilalui pasangan ini.

Mengambil kesempatan melalui keadaan semasa, dia yakin dalam keadaan ramai yang berjauhan kini, lagu itu cukup sesuai didengar pada masa ini.

“Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan yang saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu. Dalam tempoh ini wujud pelbagai kejadian yang menduga rasa cinta mereka. Bagaimana ukuran cinta bukanlah berdasarkan jarak tetapi perasaan itu sendiri.

“Dengan keadaan negara kita yang berhadapan dengan pandemik ini, pasti ramai yang melalui situasi yang sama.

“Bukan sekadar tidak dapat bertemu orang tersayang, malah ada yang tidak dapat pulang ke kampung berbulan lamanya untuk bertemu orang tersayang. Jadi lagu ini saya anggap cukup kena dengan situasi sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah memberitahu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, dia melihat ini adalah waktu yang sesuai untuk mereka berkongsi karya baharu kepada semua.

“Lagu ini sudah dirakamkan sejak setahun lalu, lebih tepat ketika negara kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama dahulu.

“Idea lagu ini hadir daripada Ajai sendiri apabila dia yang ingin melihat kami berduet. Malah lagu ini memang diciptakan khas buat saya dan Shuib.

“Ikutkan selepas siap dirakam memang tiada tarikh untuk lagu ini dilancarkan. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat dan Shuib juga tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu diperdengarkan kepada peminat,” katanya.

Sementara itu, pelawaan Ajai untuk berduet tidak dipandang sepi oleh Shuib.

Melihat ini sebagai hadiah untuk isterinya yang sarat mengandung anak ke empat, tambah Shuib menjadi harapanya agar lagu ini dapat diterima dengan baik.

“Kalau mahu kata puas hati, saya memang puas hati dengan penyampaian saya dalam lagu ini. Cuma kita tidak boleh harap perkara yang sama daripada semua pendengar.

Bukan apa selepas sembilan tahun lagu terakhir saya dengan isteri, harus diakui memang agak mencabar.

“Apa pun saya bersyukur dengan perlancaran lagu ini. Selain berharap lagu SBSC dapat diterima dengan baik peminat,” kata Shuib yang mengagumi bakat penciptaan lagu yang dimiliki oleh Ajai.

Tambahnya lagi, Ajai tahu tentang kemampuan vokalnya dan apa yang diciptakan figura berkenaan ‘kena’ dengan mereka berdua dan akhirnya membuatkan dia selesa sepanjang proses rakaman berlangsung.

Untuk rekod, lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Indigital Music.

Lagu ini sudah boleh distrim di semua platform digital dan lirik video boleh ditonton mulai 9 malam pada 22 Jun ini. Layari https://youtu.be/QdOYku0hQsk untuk menonton video.

(Visited 392 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button