Nasional

Untuk dapat bantuan, wanita pura-pura jadi mangsa banjir

UNTUK mendapatkan bantuan banjir daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, seorang wanita sanggup menipu menjadi mangsa banjir di Mentakab, Temerloh baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata pada 29 Disember lalu, wanita tersebut yang berumur 33 tahun itu membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan oleh NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh dengan memberi alamat yang tidak didiami.

Tambahnya, wanita tersebut juga mengatakan dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan.

“Ini menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin oengisar dan periuk nasi bernilai RM700,” katanya.

Mohd Wazir berkata, NGO tersebut telah menerima rungutan daripada orang ramai yang menyatakan wanita tersebut bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiaminya.

Tambahnya, seorang ahli NGO berkenaan membuat laporan polis selepas membuat semakan sendiri dan mendapati wanita tersebut membuat permohonan bantuan kepada NGO lain.

“Siasatan awal mendapati alamat yang digunakan oleh wanita tersebut serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni.

“Ketua kampung di situ juga mengesahkan wanita itu bukan mangsa banjir.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya. -SM

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button