Nasional

Sistem kebajikan Malaysia lemah punca kanak-kanak Mynmar meninggal

DUA kumpulan aktivis dakwa kegagalan sistem kebajikan negara menjadi punca ematian kanak-kanak Myanmar. Menurut kedua-dua kumpulan aktivis berkenaan, mereka merasa kesal dengan kelemahan sistem kebajikan di negara ini dalam melindungi kanak-kanak daripada penderaan atau pengabaian dengan menyifatkannya sebagai kegagalan dalam sistem kebajikan negara, seperti dilaporkan FMT hari ini.

Aktivis Hartini Zainudin dari Yayasan Chow Kit mendakwa, sistem perlindungan sosial di Malaysia tidak melibatkan golongan terpinggir dan miskin yang sering tidak mempunyai akses kepada bantuan rasmi.

“Bantuan untuk komuniti ini biasanya datang daripada usaha badan bukan kerajaan (NGO) atau komuniti tempatan.

“Namun usaha ini tidak mempunyai struktur dan tidak mempunyai sistem yang teliti untuk merekodkan mereka yang memerlukan bantuan dan ini bermakna ramai yang terlepas pandang,” katanya.

Hartini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian dua orang kanak-kanak Myanmar di Pulau Langkawi.

Kanak-kanak itu, masing-masing berusia empat dan dua tahun dipercayai meninggal dunia selepas memakan sisa makanan dari tong sampah.

Hartini berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu strategi untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan dan di manakah mereka ini berada.

“Makanan adalah hak asasi, milik semua orang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Yayasan Inovasi dan Kebaikan Hak Kanak-kanak (CRIB), Srividhya Ganapathy pula berkata, sistem sedia ada yang menempatkan kanak-kanak dalam jagaan dilakukan secara tidak teratur.

Katanya, itu biasanya dibiayai secara bebas selain kurangnya pemantauan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru beliau menggesa supaya langkah segera diambil untuk membangunkan sistem untuk kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pihak yang berkenaan.

“Ibu bapa dan keluarga, tidak mengira kewarganegaraan atau status, perlulah menyediakan sokongan dan sumber yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga berkata, kanak-kanak gelandangan harus dipantau dan jika boleh, mereka ini dipindahkan dari kawasan jalanan ke pusat perlindungan.

Srividhya berkata, kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan masyarakat sivil harus bekerjasama untuk memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepada kanak-kanak komuniti rentan. – SM

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button