Nasionalpilihan

Sistem e-Tanah akan diperluaskan ke negeri lain

KERAJAAN merancang untuk meluaskan Sistem e-Tanah secara Sistem e-Tanah menerusi Kerjasama Awam Swasta(PPP) ke negeri-negeri lain seperti Putrajaya, Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat sistem keberkesanan sistem tersebut yang diguna pakai di Kuala Lumpur sejak 2017 dan Perak pada Februari lalu.

“Sistem e-Tanah dijangka akan selesai dibangunkan di semua negeri tersebut dan boleh diguna pakai keseluruhan dan sepenuhnya selewat-lewatnya pada tahun 2024.

“Saya difahamkan, perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta bersempena Hari Tanah Negara Tahun 2021.

Menurut Muhyiddin, sistem e-Tanah ini telah mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun sebelum ini.

Jelasnya, menerusi Laporan Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada tahun lalu, Malaysia berada dikedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke 15 pada tahun 2019.

“Pihak Bank Dunia juga turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan satu laporan Knowledge and Research pada 2017, The Malaysia Development Experience Series yang bertajuk Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land Administration untuk dikongsikan bersama negara-negara lain tentang kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan pentadbiran tanah.

“Selain itu, Sistem e-Tanah ini turut meraih pengiktirafan diperingkat antarabangsa pada tahun 2018 iaitu pencapaian Gold Award Public Sector di Asean ICT Award 2018 yang telah diadakan di Indonesia,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan KualaLumpur sejak tahun 2017.

“Sepanjang pelaksanaannya, sistem ini telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020, kita menyaksikan Sistem e-Tanah, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara atas talian dengan cekap dan selamat,” katanya.

Jelasnya, sistem itu kemudian telah diperluas dan diguna pakai pada Februari lalu di Perak dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk pelaksanaan urusan pentadbiran tanah.

Tambahnya, beliau berharap agar peluasan Sistem e-Tanah ini akan memberikan impak yang positif dalam meningkatkan lagi produktiviti Malaysia di mata dunia dan seterusnya akan menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk menambah pelaburan di dalam negara. -SM

 

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button