Gajet

Siri AMD Ryzen Threadripper 9000 Hadir Dengan 96 Teras Zen5 Dan Kelajuan 5.4GHz

AMD akhirnya telah memperlihatkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Threadripper 9000 yang dikemaskini dengan penggunaan teras AMD Zen5 terbaru mereka, dan ia dilihat hadir dengan spesifikasi yang sangat berkuasa untuk komputer kelas workstation ataupun pusat data yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi untuk pelbagai tujuan produktiviti.

AMD Ryzen Threadripper 9000 dilihat hadir dengan beberapa model, dimana yang terdiri daripada dua siri, iaitu AMD Ryzen Threadripper Pro 9000 WX untuk pusat data ataupun komputer workstation yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi untuk tujuan olahan objek 3D ataupun suntingan video beresolusi tinggi.

Model kedua pula ialah dalam siri ini ialah AMD Ryzen Threadripper 9000 biasa, yang lebih sesuai digunakan untuk komputer pengguna biasa untuk mereka yang mahukan prestasi terbaik dan sokongan untuk memori yang lebih tinggi apabila dibandingkan dengan cip AMD Ryzen biasa.

Cip pemprosesan paling berkuasa dalam siri AMD Ryzen Threadripper Pro 9000 WX ialah AMD Ryzen Threadripper Pro 9955WX yang hadir dengan 96 teras fizikal dan 192 bebenang kuasa. Ia juga hadir dengan 128 jalur PCIe 5.0 dan menyokong sehingga lapan saluran memori DDR5 dan mempunyai kelajuan pemprosesan setinggi 5.4GHz.

Dalam siri cip pemprosesan AMD Ryzen Threadripper 9000 biasa pula, cip paling berkuasa ialah AMD Ryzen Threadripper 9980X yang hadir dengan 64 teras dan 128 bebenang kuasa, kelajuan Boost Clock 5.4GHz dan menyokong empat saluran memori.

Kedua-dua siri cip pemprosesan ini juga hadir dengan jumlah penggunaan kuasa elektrik setinggi 350W, jadi anda akan mahu membina sebuah komputer dengan bekalan kuasa sekurang-kurangnya 1KW ke 1.5KW untuk memanfaatkan penggunaan cip pemprosesan ini sepenuhnya.

Dalam pada itu, AMD turut mengatakan bahawa cip-cip pemprosesan Threadripper baru ini akan menyokong papan induk WR90 (Threadripper Pro) dan TRX50 (Threadripper) sedia ada, dan hanya memerlukan kemaskini BIOS untuk membolehkan cip-cip baru ini untuk digunakan.

AMD mengatakan bahawa mereka akan menjual siri cip pemprosesan Ryzen Threadripper 9000 ini bermula bulan Julai ini, dan ia akan diperkenalkan untuk syarikat pembina komputer, dan mereka yang mahu membina komputer berkuasa mereka sendiri.

Sumber : Amanz

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.
Back to top button