Luar Negara

Singapura sahkan tiga lagi kes positif coronavirus

SINGAPURA hari ini melaporkan tiga lagi kes jangkitan coronavirus atau  COVID-19, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kepada 96 orang.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan tiga kes terbaharu itu melibatkan warganegaranya yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, atau Daegu dan Cheongdo di Korea Selatan.

MOH menyatakan bahawa satu daripada kes yang disahkan hari ini melibatkan seorang pelajar di Raffles Institution berusia 12 tahun yang mempunyai kaitan dengan kes ke-94 iaitu seorang wanita berusia 64 tahun, tinggal di kawasan Jalan Jurong Kechil.

Pelajar itu kini ditempatkan di bilik isolasi di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK.

Selain itu, MOH memaklumkan empat lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital; masing-masing dua rakyat tempatan dan warganegara China yang mempunyai kaitan dengan kluster gereja Grace Assembly of God, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih setakat ini ialah 66 orang.

Daripada 30 kes yang disahkan dan masih berada di hospital, kementerian itu menyatakan kebanyakan mereka stabil atau semakin pulih manakala lapan pesakit dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sehingga tengah hari tadi, MOH telah mengenal pasti 2,887 kontak rapat yang telah dikuarantinkan, dan daripada jumlah ini, 245 sedang dikuarantin manakala 2,642 telah menyempurnakan tempoh kuarantin mereka.

Setakat ini, lapan kes positif dikaitkan dengan kluster The Life Church and Missions Singapore; 23 kes kluster gereja Grace Assembly of God, sembilan kluster kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan swasta yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura dan lima dengan tapak pembinaan Seletar. – BERNAMA

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button