Pembaca

Singapura, Melaka dan Pulau Pinang menjadi contoh pembangunan ekonomi Negeri Perlis

Pada 30 Mac 2022 Kerajaan Negeri Perlis telah mengumumkan kejayaan kerajaan negeri membawa masuk pelaburan terkumpul kasar yang berjumlah RM26.84 bilion dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini bermaksud Perlis dalam proses mengembalikan rentak pembangunan dan pemulihan sektor ekonomi negeri Perlis.

Dalam konteks ini, kejayaan kerajaan negeri Perlis ini boleh ditingkatkan dengan memberikan penumpuan merancakan kepada dua sektor pelaburan dalaman negeri dan luar negeri (Foreign Direct Investment) sama ada dari luar negeri perlis atau luar negara. Sesuai dengan kedudukan Perlis yang berhampiran dengan Thailand, ia adalah aset yang mampu menjana pembangunan negeri. Ia adalah sejajar dengan saranan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 2 Julai 2002 yang menyarankan kerajaan meningkatkan kemasukan pelaburan dari dalam atau luar negara

Model Singapura, Melaka dan Pulau Pinang boleh menjadi asas kepada negeri Perlis yang mana ketiga-tiga negeri dan negara tersebut tidak menjadikan geografi yang kecil dan terhad dari hasil sumber bumi sebagai alasan untuk gagal membangunkan negeri. Sebaliknya, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang beralih kepada strategi membangunkan negeri dengan mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk sektor perkhidmatan (Service).

Perlis boleh menjadikan sektor perkhidmatan seperti yang sedang dibangunkan iaitu Perlis Inland Port (PIP) bagi laluan pengangkutan kontena menggunakan keretapi dan Jeti Bersepadu Kuala Sanglang yang menyediakan Perkhidmatan feri ke Langkawi bagi mengatasi masalah “cetek” di Kuala Perlis. Ia adalah sektor perkhidmatan yang boleh memberi impak tinggi dalam pembangunan negeri Perlis.

Malah dengan adanya Laluan Keretapi dan Jeti Bersepadu Kuala Sanglang ia tidak mustahil kepada kerajaan negeri untuk membangunkan pelabuhan kapal yang membolehkan Perlis menjadi Pusat Pengagihan (Distribution Centre) yang selama ini didominasi di kawasan perindustrian Mak Mandin Pulau Pinang di masa hadapan.

Pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis Inland Port (PIP) dan Chuping Agro Valley yang telah dilaksanakan juga boleh diperkembangkan dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada rakyat negeri Perlis dengan menyediakan bantuan dan kemudahan termasuk tapak perniagaan hiliran bagi merancakan pembangunan negeri Perlis yang secara langsung rakyat dapat menikmati limpahan dari perlaksanaan projek mega negeri.

Selain itu, kejayaan membawa FDI dari luar negara iaitu Qatar pada Mac 2022 dalam sektor tenusu ke Perlis ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke pusat tenusu milik Baladna di Qatar yang dijangka dapat mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan, 208.8 juta liter susu dan menternak 14,000 ekor lembu.

Selain itu, cadangan penubuhan Pusat Stok Penimbal Perikanan Negara juga dapat dicadangkan dibangunakan di negeri Perlis walaupun terdapat cadangan dilakukan di negeri jiran Kedah. Ini kerana Perlis terkenal dengan sumber perikanan yang hampir dengan Thailand serta memiliki kelebihan dari sudut pengangkutan keretapi untuk agihan ke seluruh negara. Cadangan ini akan menjadikan Perlis sebagai negeri pertama yang membangunkan stok perikanan negara sejajar dengan isu keselamatan makanan (Food Security). Adalah lebih sesuai Kedah membangunkan Pusat Stok Penimbal Beras Negara manakala Perlis membangunkan Pusat Stok Penimbal Perikanan Negara. Ia secara langsung dapat meningkatkan pendapatan para nelayan, peniaga dan pengguna khususnya negeri Perlis.

Pelaburan asing ini boleh dipertingkatkan dengan kesediaan kerajaan negeri untuk berunding memberikan pelbagai insentif seperti kadar cukai yang rendah, pengurangan premium tanah pada kadar antara 10 hingga 30 %, bayaran cukai tanah secara berjadual dan pengecualian bayaran caj perkhidmatan, penawaran buruh murah dan lokasi yang strategik kepada para pelabur. Kesediaan kerajaan negeri akan membolehkan sektor-sektor perladangan, pertanian, perindustrian, perkhidmatan dan sebagainya semakin berkembang dan menjana pendapatan yang besar kepada negeri Perlis.

Kerajaan negeri juga boleh merancang bagi menubuhkan Pusat-pusat Latihan Lanjutan Kepakaran Perkhidmatan seperti Pusat Kecemerlangan Pegawai Tadbir dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di negeri Perlis yang mana ia dapat meningkat sektor pelancongan negeri. Sesuai dengan kedudukan yang hampir dengan Langkawi dan Thailand ia dapat menjadi tarikan kepada para peserta Pusat-Pusat Latihan Lanjutan Kepakaran Perkhidmatan di Perlis.

Sektor perlancongan juga dapat menjana pendapatan kepada negeri Perlis yang secara tidak langsung meningkat sektor perkhidmatan perhotelan negeri Perlis. Manakala usaha promosi negeri dapat dipertingkatkan dengan sektor perfileman yang negara pada ketika ini menyaksikan kejayaan filem Mat Kilau yang menceceh puluhan juta ringgit. Dengan memiliki geografi, bentuk muka bumi serta lokasi-lokasi stretagik bagi tujuan perfileman ia boleh meningkatkan usaha mempromoskan Perlis kepada rakyat Malaysia dan luar negara seperti mana beberapa kawasan Thailand seperti Satun, Krabi dan Phuket yang berdekatan dengan Perlis yang terkenal dan menjadi destinasi filem barat.

Justeru, bagi memastikan kejayaan pembangunan negeri Perlis, ia memerlukan ramuan yang perlu mendapatkan dokongan kerajaan persekutuan, agensi kerajaan dan swasta negeri, rakyat dan kerajaan negeri untuk bersama-sama meletakan kemajuan Perlis sebagai teras dalam pembangunan negeri Perlis.

Ditulis oleh :
Nor Halmey Hamdah
Pelajar Pengajian PHD
Pusat Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia
(Visited 400 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button