Politik

Singapura dipercayai akan menuntut pampasan sehingga RM1 bilion

KERAJAAN Singapura dilapor bakal membuat tuntutan lebih tinggi akibat pembatalan projek Laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Tuntutan yang mungkin akan dibuat adalah sehingga RM1 bilion ekoran negara itu sudahpun membelanjakan peruntukannya sebanyak 250 juta Dolar Singapura (SGD) atau RM750 juta.

Ini kerana, pada Julai 2018 di Parlimen Singpura, Menteri Luarnya memaklumkan tuntutan akan dibuat berdasarkan perjanjian dan undang-undang antarabangsa.

“Walaupun saya pernah tulis bahawa gantirugi sekurang-kurangnya RM355 juta (RM310 untuk pembatalan sekarang dan RM45 juta yang telah dibayar kerajaan PH untuk kos tangguhkan projek selama 2 tahun).

“Saya percaya pampasan yang akan dituntut oleh Singapura adalah lebih tinggi.

“Pada bulan Julai 2018, Menteri pengangkutan Singapura umum dalam parlimen mereka bahawa Singapura sudah berbelanja SGD250 juta setakat itu.

“Dan akan berbelanja SGD40 juta (RM120 juta) lagi untuk tahun 2018.

“Pada bulan yang sama pula, menteri luar Singapura kata, mereka akan tuntut gantirugi sebanyak RM743 juta jika Malaysia batalkan projek HSR masa itu.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi hantara Facebooknya hari ini.

Terdahulu, beliau ketika menjadi Perdana Menteri melancarkan projek HSR pada Disember 2016 sebagai salah satu kemudahan baharu.

Kemudahan tersebut dijangka memberikan rangkaian perjalanan lebih baik bagi penduduk kedua-dua ibu negara termasuk meningkatkan potensi pelaburan.

Walau bagaimanapun, ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran, projek berkenaan ditangguhkan selama dua tahun.

Namun, apabila Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, projek tersebut terbatal selepas tiada persetujuan dicapai menjelang tarikh akhir tempoh perjanjian pada 31 Disember lalu.

Oleh demikian, berdasarkan perjanjian, Kerajaan Malaysia perlu membayar ganti rugi akibat membatalkan projek tersebut.

Najib bagaimanapun menegur kerajaan kerana tidak mengambil inisiatif untuk menangguhkan projek tersebut berbanding membatalkannya.

Katanya, kerajaan mungkin akan dapat mengurangkan kerugian sekiranya projek tersebut ditangguhkan.

“Jadi, saya percaya ada kemungkinan bahawa Singapura mungkin tuntut gantirugi sebanyak RM1 bilion sebab Malaysia telah batalkan perjanjian tersebut.

“Jikapun kerajaan Malaysia tidak berhasrat untuk tukar projek ke HSR KL-JB sahaja seperti yang telah dilaporkan.

“Tetapi hanya berpendapat projek ini tidak sesuai untuk dilaksanakan sekarang pada masa pandemik ini.

“Kerajaan Malaysia patut minta projek ditangguh untuk tempoh 1 tahun lagi untuk elak membayar gantirugi sebesar itu,” tegasnya. – SM

(Visited 907 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button