Luar Negara

Singapura bina lebih banyak asrama pekerja asing, elak kepadatan

SUDAH terantuk baru tengadah. Walau bagaimanapun, masih belum terlambat asalkan mendapat satu pengajaran yang dijadikan tuntunan masa depan.

Begitulah kiasan yang boleh diberi kepada negara jiran terhampir apabila mereka akan memulakan program pembinaan secara besar-besaran, asrama bagi menempatkan pekerja asing.

Memetik laporan BERNAMA, asrama baharu yang bakal dibina itu mempunyai ruang kapasiti menempatkan 60,000 katil sedia digunakan pada hujung tahun ini.

Kenyataan itu datangnya dari Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong.

Beliau berkata, sasaran mereka menerusi pelaksanaan program ini adalah untuk mengurangkan kepadatan di asrama.

“Bentuk asrama baharu juga penting supaya ia lebih baik dan tidak mengabaikan kesihatan awam terutamanya terdedah kepada risiko pandemik seperti yang kita pelajari daripada pengalaman COVID-19,” katanya.

Pada masa ini, Singapura telah menggunakan fasilitas seperti kem tentera dan dewan sukan serta sebahagian flet HDB untuk menempatkan pekerja kawasan itu dalam usaha mengurangkan kepadatan di asrama pekerja.

Lawrence yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 berkata, tindakan tersebut merupakan satu penyelesaian sementara.

Ini kerana akhirnya kawasan tersebut perlu diserahkan semua untuk kegunaan sebenar mereka, dan satu penyelesaian yang lebih sesuai diperlukan untuk asrama baru.

Dalam jangka panjang beliau berkata, republik itu merancang untuk membina 11 bangunan khas asrama kekal dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan tambahan kira-kira 100,000 tempat, dengan reka bentuk dan piawaian baru.

Sementara itu, Menteri Tenaga Kerja Josephine Teo pula berkata, sehingga hari ini, sejumlah 40,000 pekerja asing telah disahkan bebas jangkitan COVID-19 dan bersedia untuk bekerja semula.

Katanya, kira-kira 12,000 daripada mereka merupakan pekerja penting, yang telah dipindahkan keluar dari asrama ke penginapan sementara, manakala 20,000 pekerja telah pulih dan ditempatkan secara sementara di pelbagai tempat.

“8,000 lagi pekerja tinggal di asrama,” kata Josephine.

Beliau juga berkata, 8,000 pekerja ini sama ada telah diuji negatif ataupun, disahkan positif tetapi telah pulih sepenuhnya dan didiscaj, dan tinggal bersama rakan pekerja yang juga telah disahkan bebas daripada virus itu di asrama.

Pada masa yang sama, ujarnya, kumpulan pertama 60 asrama akan diberikan status ‘bebas’, bermula hari ini,  (2 Jun) di mana setiap blok di asrama tersebut telah bebas daripada virus dan setiap penduduk di blok berkenaan telah disahkan bebas daripada jangkitan.

Terdapat 43 bangunan khas asrama yang menempatkan kira-kira 200,000 pekerja asing dan 1,200 kilang yang dijadikan asrama untuk kira-kira 95,000 pekerja. – BERNAMA – SM

 

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button