
Sinergi PDRM-Kementerian Komunikasi Perkukuh Ruang Digital Negara
PUTRAJAYA, 16 Jun 2025 – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di pejabatnya hari ini.
Pertemuan tersebut membincangkan secara mendalam pelbagai isu keselamatan semasa, terutamanya berkaitan ancaman jenayah siber, penyebaran berita palsu serta keperluan memperkukuhkan keselamatan dalam ruang digital negara.
“Saya amat menghargai keterbukaan, komitmen serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh Tan Sri Razarudin dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sinergi antara Kementerian Komunikasi dan PDRM amat penting bagi memastikan persekitaran dalam talian negara kekal selamat, beretika, dan bebas daripada ancaman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” kata Datuk Fahmi dalam satu kenyataan selepas pertemuan tersebut.
Menurut beliau, isu keselamatan digital perlu diberi perhatian serius memandangkan ia memberi kesan langsung kepada kestabilan sosial dan keselamatan negara.
Datuk Fahmi turut mengucapkan penghargaan atas komitmen tinggi pihak PDRM dalam usaha berterusan mengekang jenayah siber dan penyebaran berita palsu yang semakin mencabar.
“Semoga Tan Sri Razarudin terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dilindungi dalam setiap urusan demi terus berbakti kepada negara,” tambah beliau.
Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara agensi bagi menangani cabaran keselamatan digital secara lebih efektif.