Nasional

Geng ADC pecah rumah, curi kenderaan lumpuh

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 13 April – Kelicikan Geng ADC melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri kenderaan di beberapa lokasi di negeri ini akhirnya lumpuh apabila tujuh ahlinya termasuk ketua berjaya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tujuh ahli geng tersebut yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita termasuk pasangan adik-beradik serta kekasihnya berusia antara 31 hingga 41 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dalam enam serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru bermula sejak 7 Mac lalu hingga 12 April.

Beliau berkata, polis juga turut merampas empat buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Toyota Harrier, Perodua Myvi dan Volkswagen Passat.

 

Selain itu katanya, polis juga turut merampas beberapa beg tangan wanita pelbagai jenama dan peralatan melakukan jenayah pecah rumah seperti kuku kambing.

“Polis berjaya memberkas kumpulan ini selepas menerima laporan ekoran beberapa kejadian pecah rumah yang berlaku pada 6 dan 7 Mac lalu dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM245,100.

“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjejaki penjenayah terbabit.

“Geng ini dipercayai bergerak aktif sejak awal tahun ini dan ketuanya dikenali sebagai Adib berusia 32 tahun bersama abangnya ditahan dalam serbuan yang dijalankan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, modus operandi geng tersebut ialah dengan menyewa kenderaan dari Johor Bahru dan melakukan jenayah pecah rumah ke daerah atau negeri berdekatan dan menyasarkan rumah yang tiada penghuni.

Beliau berkata, polis yakin dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah dan curi kenderaan di negeri ini termasuk beberapa kes lagi membabitkan lokasi luar dari sini dilakukan oleh kumpulan yang sama.

Menurutnya, hasil siasatan ke atas kesemua suspek, lima daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah pecah rumah dan curi kenderaan serta dadah.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button