fbpx
BeritaNasionalPolitikPRK

Sindrom terkejut merebak ke PRK Tanjung Piai

KELMARIN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terkejutnya dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan dalam syarikat SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Hakim yang membaca ringkasan keputusan selama kira-kira sejam itu, memerintahkan Najib membela diri atas tiga dakwaan pecah amanah, tiga tuduhan penggubahan wang haram dan   satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik syarikat tersebut.

“Beliau (Najib) terkejut dan menjangkakan pembebasan daripada ketujuh-tujuh pertuduhan tersebut,” kata peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditanya tentang reaksi Najib tersebut berkata, beliau juga terkejut apabila mendapat tahu bekas anak didiknya terkejut dengan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membela diri dalam kes itu.

“Saya terkejut yang dia (Najib) terkejut, seluruh dunia tahu bahawa Najib bersalah tetapi kita mengikut kedaulatan undang-undang. Kita hantar dia (Najib) ke mahkamah untuk menentukan sama ada dia ada kes atau tidak.


“Sesi pendengaran juga mengambil masa beberapa bulan itu cara kita sebagai sebuah kerajaan,” ujar beliau.

Nampaknya sindrom terkejut ini turut mempengaruhi perjalanan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

Terbaharu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun pula dilaporkan terkejut dengan dakwaan beberapa pemimpin UMNO yang mengecam peraturan dikenakan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mempersoalkan peraturan baharu SPR bahawa calon yang berkempen dari rumah ke rumah perlu mendapatkan permit polis.

Beliau sebaliknya menegaskan SPR harus bertindak sebagai badan berkecuali dan bukan badan yang dikuasai kerajaan memerintah.

“Apa yang dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta. Jadi saya tidak faham kenapa perkara seperti ini timbul di pilihan raya kecil Tanjung Piai ini.

“Adakah kerana PH (Pakatan Harapan) nampak mereka berdepan jalan sukar untuk menang (maka) akhirnya SPR (terpaksa) membantu mereka untuk menyusahkan parti-parti pembangkang seperti BN?” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan peraturan yang dikuatkuasakan itu sebagai tidak masuk akal.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan permit berkenaan bukanlah dikeluarkan oleh SPR, sebaliknya pihak polis.

“Saya terkejut yang ahli politik veteran – bahkan bagi mereka yang memegang ijazah dalam perundangan – seperti tidak faham (syarat dan peraturan), apatah lagi menghargai rangka kerja asas undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya,” katanya.

Justeru Azhar berkata, dakwaan pemimpin terbabit adalah tidak wajar.

“Ia dakwaan paling teruk dan tidak berasas, bersifat politik dan kemungkinan dipengaruhi oleh niat jahat,” katanya.

Menurut beliau, tugas memastikan semua peraturan dan undang-undang dipatuhi adalah polis, bukannya SPR.

Keperluan untuk mendapatkan permit polis untuk mengadakan apa juga ceramah tegas beliau, dinyatakan dalam undang-undang.

“Bukan bidang kuasa SPR untuk mengeluarkan permit atau untuk mengenakan keperluan permit. Ia adalah bidang kuasa polis,” katanya.

Menurut Azhar, adalah tidak wajar bersangka buruk terhadap SPR setiap kali melihat ada peraturan tidak selaras dengan pendirian mereka.

“Lebih baik jika menyemak undang-undang sedia ada terlebih dahulu sebelum melemparkan pelbagai dakwaan terhadap SPR,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button