fbpx
PolitikRencana

Sindrom September Anwar

Analisis

CUACA politik Malaysia yang kemarau bertambah panas apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan.

Beliau mengumumkan demikian sekali gus mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perikatan Nasional (PN) runtuh.

Majoriti yang didakwanya berjaya diperoleh adalah cukup kuat berbanding PN dengan kelebihan dikatakan dua pertiga.

Malah beliau mendakwa sepatutnya mengadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 22 September.

Namun, pertemuan itu ditangguhkan apabila baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan kerana gering.


Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Presiden PKR cukup sinonim untuk dikaitkan dengan bulan September kerana banyak peristiwa penting berlaku pada bulan itu berkaitan dengan dirinya.

Senario itu boleh dilihat pada 1998 apabila beliau digugurkan daripada kabinet oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu pada 2 September 1998.

Tarikh itu merupakan, berakhirnya beliau dalam kabinet kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas menjawat selama lima tahun sejak dilantik pada 1 Disember 1993.

Beliau dipecat daripada jawatan itu oleh Dr. Mahathir kerana didakwa terlibat dengan kegiatan tidak bermoral dan tuduhan rasuah.

Kemudian, pada 20 September tahun sama, beliau memprotes tindakan pemecatan itu dengan membawa puluhan ribu penyokongnya berdemonstrasi mendesak Dr. Mahathir meletak jawatan.

Beliau bagaiamanapun ditahan pihak polis beberapa jam kemudian.

Pada 29 September pula, Anwar membuat kemunculan di mahkamah bagi menghadapi tuduhan sodomi dan rasuah dalam keadaan lebam di mata dan beberapa bahagian muka.

Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor mengakui memukul beliau.

Anwar kemudian dipenjarakan atas kesalahannya selepas keputusan di Mahkamah Persekutuan pun tidak memihak kepadanya.

Pada 2 September 2004, beliau kemudian dibebaskan daripada dipenjara.

Orang yang membebaskannya ketika itu adalah Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada masa sama menerima pujian daripada ramai pihak.

6 September 2004 pula, rayuan terhadap kes rasuah yang dihadapkan kepada beliau telah difailkan dan pada 7 September Mahkamah Rayuan bersetuju mendengar rayuan Anwar.

Namun, pada 15 September, hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Anwar memang bersalah.

Beliau kemudian bertindak sebagai penasihat partinya, PKR yang ketika itu kerusi Presiden disandang oleh isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Pada 16 September 2008, beliau mengumumkan mempunyai majoriti yang cukup dan berjaya menarik 30 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak berjaya membentuk kerajaan baharu seperti didakwanya.

Ketika itu, Anwar terkenal dengan teriakan harga minyak turun, “hari ini Pakatan Rakyat menang, esok harga minyak turun.”

Malah, beliau juga sebelum itu turut berjanji untuk menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen jika berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

Namun, pada 18 Oktober 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat seolah-olah bertindak ke atas dakwaan Anwar apabila mengumumkan 16 September sebagai cuti umum Hari Malaysia.

Kemudian, pada 23 September 2020, Anwar sekali lagi muncul dalam sidang akhbar.

Beliau pada bulan September tahun ini sekali lagi mengumumkan bakal membentuk kerajaan kerana mempunyai majoriti yang kuat dan kukuh.

Anwar mendakwa, beliau sepatutnya mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 September bagi mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen yang dimilikinya.

Kali terakhir Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat adalah pada Februari 2020.

Beliau berkata demikian sebelum Pakatan Harapan tumbang dan akhirnya Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri ke-8. – SM

 

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button