Nasionalpilihan

Sindiket penyelewengan minyak diesel di Bukit Rambai tumpas

Sebuah sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi beroperasi di sebuah gudang di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka dekat sini tumpas apabila bahan api dengan kapasiti 26,000 liter bernilai RM83,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Pengarah KPDN, Norena Jaafar berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 malam tadi diketuai Pegawai Turus Risik Briged Tengah Pasukan Gerak Am (PGA), Sohaimi Hasim turut merampas wang tunai berjumlah RM49,000.

Menurutnya, KPDN juga turut menyita sebuah kereta, motosikal, lori tiga tan, peralatan memindah minyak serta tangki simpanan diesel dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM400,000.

Katanya, bahan api bersubsidi itu disyaki cuba diseleweng oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan dengan cara tidak sepatutnya.

“Dalam serbuan tersebut juga polis turut menahan lima lelaki iaitu empat warga tempatan dan seorang warganegara Bangladesh berusia antara 25 hingga 55 tahun ketika cuba memindahkan minyak diesel ke sebuah lori tangki.

“Sewaktu serbuan kita berjaya menghalang sebuah lori tangki yang penuh dengan muatan diesel yang dikatakan akan keluar untuk membuat penghantaran kepada pihak industri yang membeli dengan harga murah.

“Modus operandi mereka menggunakan sebuah lori tiga tan yang mempunyai tangki simpanan berkapasiti 6,000 liter. Mereka membeli minyak diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak di negeri ini,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Norena berkata, minyak diesel bersubsidi itu dibeli dengan harga pasaran RM2.15 seliter akan dihantar ke sebuah gudang yang kosong di kawasan Perindustrian Bukit Rambai yang dijadikan lokasi memindahkan minyak diesel ke sebuah lori tangki berkapasiti 23,000 liter.

Menurutnya, minyak itu akan dijual semula kepada pihak industri di sekitar negeri ini dengan kadar harga yang murah di bawah harga subsidi yang ditetapkan kerajaan RM2.15.

Beliau menjelaskan, serbuan tersebut dilakukan hasil intipan polis selama tiga bulan hasil daripada maklumat orang ramai.

“Hasil siasatan memang pihak terbabit ini menjual minyak diesel bersubsidi bagi pihak industri berdekatan menggunakan lori tangki,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana beroperasi atau menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Selain itu, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran,” katanya. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button