Nasional

Muhammad Shafee perlu bayar RM5.5 juta kepada LHDN

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini supaya membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Memetik laporan BERNAMA Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah bahawa jumlah akhir yang perlu dibayar oleh Muhammad Shafee ialah RM5,529,577.70.
“Pihak kami juga memohon kos RM10,000,” kata Norhisham yang turut dibantu Peguam Kanan Hasil Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Farhan Muhammmad Shafee, yang mewakili bapanya selaku defendan memohon kos RM5,000.
Roz Mawar kemudian membenarkan kos RM10,000 kerana jumlah tersebut adalah munasabah.
Sementara itu, Muhammad Farhan memberitahu mahkamah pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada akan merayu terhadap keputusan hari ini.
Pada 15 Dis lepas, mahkamah sama membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap peguam itu.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Pada 28 Sept 2021, LHDN memohon agar samannya terhadap Muhammad Shafee, yang difailkan pada 6 Mei 2021 diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.
LHDN mendakwa peguam itu gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan ke atas jumlah yang dikenakan.
Pada 28 Okt 2022, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.
Pihak pendakwaan yang merayu terhadap keputusan mahkamah itu bagaimanapun menarik balik rayuan berkenaan pada 5 Dis lepas. Ini menyebabkan pembebasan Muhammad Shafee dalam keempat-empat kes itu kekal. – SM
(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button