JenayahNasional

Sindiket ‘macau scam’ kini guna nama Pos Laju pula

KEGIATAN sindiket ‘macau scam’ seperti tidak berpenghujung, selepas menyamar sebagai pegawai di pelbagai agensi kerajaan kini mereka mengaku sebagai Pos Laju pula.

Itu antara taktik mereka cuba memperdaya mangsa dengan menggunakan pelbagai identiti. Malah mereka pernah menyamar sebagai pegawai di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka juga, pernah menyamar sebagai pegawai bank dengan menyebut bank-bank terkemuka negara untuk mempengaruhi mangsa supaya memasuki perangkap.

Tidak terkecuali, wartawan Suara Merdeka yang baharu sahaja menerima panggilan daripada sindiket tersebut mendakwa mereka daripada Pos Laju.

“Anda mempunyai mesej daripada Pos Laju, untuk maklumat lanjut, sila tekan kosong. Sila tekan kosong.”

Begitu ringkas operator telefon tersebut apabila wartawan mengangkat telefon rumahnya yang berdering pada pagi tadi.

Selepas mendengar arahan tersebut, wartawan berkenaan terus menekan butang nombor kosong dan mendengar nada panggilan sedang disambungkan.

Kemudian, kedengaran suara sorang lelaki menjawab sambungan panggilan telefon berkenaan dengan ucapan selamat pagi.

“Hai selamat pagi apa boleh saya bantu?,” katanya dengan sebutan perkataannya seperti dialek yang bukan berasal dari Semenanjung atau negara ini.

Soalan berkenaan dijawab wartawan dengan menyatakan menerima panggilan daripada nombor tersebut yang memaklumkan terdapat mesej perlu diterima daripada Pos Laju.

“Ok….,” jawab lelaki berkenaan.

“Ok…?” kata wartawan mengubah intonasi perkataan tersebut menjadi soalan.

“Boleh saya tahu alamat rumah?” soal lelaki tersebut lagi.

“Kota Kemuning, Shah Alam,” ringkas wartawan menjawab soalan tersebut.

Suasana senyap seketika tanpa ada sebarang suara daripada wartawan dan lelaki berkenaan. Kemudian panggilan diputuskan oleh lelaki tersebut.

Demikian ringkas panggilan yang diterima menerusi nombor telefon yang terpapar pada skrin telefon, 009253804352.

Wartawan meyakini panggilan tersebut adalah sindiket ‘macau scam’ kerana umum maklum mana-mana pihak seperti Pos Malaysia, bank dan agensi kerajaan tidak akan membuat sebarang panggilan telefon.

Lazimnya, pihak Pos Malaysia hanya akan membuat panggilan telefon untuk memaklumkan ada barangan yang perlu diambil di pusat mel tertentu dan mengarahkan kita untuk datang mengambilnya.

Membuat panggilan telefon, kemudian memaklumkan terdapat mesej perlu diterima daripada Pos Laju sememangnya amat meragukan.

Untuk makluman, sudah lebih tiga kali wartawan menerima panggilan daripada sindiket ‘macau scam’ yang pernah menyamar sebagai pegawai polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM). – SM

 

(Visited 925 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button