fbpx
Jenayah

Sindiket jual dokumen ujian COVID-19 palsu tumpas selepas 5 lagi ditahan

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Satu sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang bermaharajalela di Seksyen 25 Shah Alam dan Klang, Selangor berjaya ditumpaskan.

Polis berjaya menahan lima lagi individu termasuk dalang dalam tiga serbuan berasingan.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib sebagai berkata, sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka menjual dokumen palsu itu pada harga RM120 kepada “pelanggan”, khususnya kepada warga asing untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Baharudin berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam.

Serbuan dibuat berdasarkan hasil risikan yang menyaksikan polis menahan seorang lelaki berumur 58 tahun selepas dia mengaku terlibat dalam kegiatan itu bersama beberapa individu lain.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi itu berperanan sebagai ejen dan ‘runner’ untuk mencari pelanggan dan menawarkan perkhidmatan (pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19) kepada warga asing atau majikan yang menggaji pekerja asing.

“Bertindak atas maklumat suspek pertama, selang dua jam selepas itu, polis menyerbu sebuah rumah di Klang dan menahan dua lelaki warga India serta dalang sindiket, iaitu seorang lelaki bertaraf penduduk tetap.

“Mereka disyaki berperanan sebagai pengubah suai dan mencetak dokumen palsu berkenaan,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan lanjut ke atas empat suspek itu membawa kepada serbuan ketiga di sebuah premis perniagaan di Pandamaran, Klang.

Serbuan kali ini menyaksikan polis menahan seorang wanita warga India yang dipercayai diupah oleh dalang itu untuk menghasilkan dokumen palsu dengan keputusan negatif ujian saringan COVID-19 daripada hospital swasta.

Kata Baharudin lagi, siasatan mendapati wanita itu bekerja di syarikat pembekalan pekerja milik dalang berkenaan dan semakan menunjukkan perniagaan itu berdaftar tetapi ia menjalankan kegiatan “sampingan”, iaitu pemalsuan dokumen berkenaan.

“Polis masih menyiasat jumlah sebenar warga asing yang telah membeli dokumen palsu itu dan menjejaki saki-baki sindiket berkenaan.

“Semakan lanjut ke atas suspek mendapati tiga warga India itu tidak mempunyai pasport manakala kedua-dua lelaki tempatan tiada rekod jenayah lampau,” ujar beliau.

Beliau berkata, selain memalsukan dokumen keputusan ujian saringan, sindiket itu didapati turut menjual pasport dan visa pelbagai negara yang dipercayai palsu pada harga RM50 kepada pendatang asing serta majikan.

Beliau berkata, semasa tangkapan dalang sindiket, polis merampas kira-kira 80 pasport India, Nepal, Filipina dan Indonesia yang disyaki palsu, selain pelbagai barangan berkaitan.

Antaranya salinan visa, kad imigresen, kertas pencetakan, komputer riba, komputer, pencetak, telefon bimbit, buku bank serta beberapa laporan keputusan palsu ujian saringan COVID-19. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button