Nasional

Salah guna dadah: Kenapa humban anak muda ke dalam penjara?

ANAK muda positif dadah dihukum penjara. Rasionalkah dengan menghumban anak muda yang masih mentah ini ke dalam penjara walhal mereka ini bukanlah penjenayah atau pengedar dadah?

Saya berpendapat Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya wajar dipinda. Seksyen ini memperuntukkan sesiapa yang didapati bersalah memasukkan dadah ke dalam tubuh badannya sendiri, tanpa kebenaran pihak berkuasa, boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun.

Apa yang yang ingin saya tekankan ialah, bagaimana jika ia merupakan kesalahan pertama kali oleh anak muda?

Adalah lebih wajar jika kerajaan mengutamakan pendekatan rawatan perubatan, pemulihan dan kaunseling untuk anak muda yang positif dadah.

Mereka, anak muda ini, bukan penjara tempatnya. Adalah suatu kerugian bila mana anak muda ini dihumban ke dalam penjara sedangkan kita masih berpeluang untuk menjadikan mereka aset buat negara.

Penjara bukan tempat yang layak untuk pesalah muda positif dadah. Malah penjara tidak mempunyai kepakaran dalam kendalikan masalah dadah.

Apabila anak muda ini dihumban ke dalam penjara mereka ini akan menjadi lebih rumit dalam mencapai objektif asal dalam memulihkan ketagihan dadah dari segi fizikal dan mental.

Menghumban anak muda ke dalam penjara tidak akan mampu mengubah masalah dadah sebaliknya akan menjadikan mereka ini lebih merbahaya pada masa depan akibat risiko pengaruh negatif banduan-banduan lain serta mengakibatkan ‘mental rapuh’ atau tekanan psikologi.

Mereka juga akan mempunyai rekod buruk yang menyukarkan masa depan, khususnya berhubung nasib pekerjaan.

Rawatan perubatan, pemulihan dan kaunseling adalah jalan terbaik untuk kita menyelesaikan permasalahan dadah di kalangan anak muda.

Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya perlu dipinda, tetapi jenayah mengedar dadah perlu dibanteras sehabis-habisnya dan dihukum seberat-beratnya.

Wan Muhammad Azri Wan Deris
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button