Ekonomi

Sime Darby Property catat kerugian bersih RM81.77 juta pada suku kedua

SIME Darby Property Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM81.77 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 daripada keuntungan bersih sebanyak RM205.26 juta pada suku kedua 2019.

Perolehan turut merosot kepada RM288.23 juta daripada RM865.90 juta sebelum ini.

Pemaju hartanah itu berkata prestasi tersebut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung pandemik COVID-19.

“Keputusan kumpulan turut terjejas oleh pengurangan inventori yang telah selesai dan susut nilai belum terima dan aset kontrak,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sime Darby Property berkata segmen pembangunan hartanah merosot dengan ketara, daripada keuntungan sebanyak RM4.8 juta pada suku pertama 2020 kepada kerugian sebanyak RM94.4 juta pada suku kedua 2020.

“Penurunan itu berikutan pengurangan inventori yang telah selesai dan hapus kira perbelanjaan pembangunan hartanah untuk projek, berjumlah RM89.3 juta, berikutan kajian semula projek-projek dalam pelancaran kumpulan untuk memastikan produk tersebut sejajar dengan permintaan pasaran,” katanya.

Sementara itu, segmen pelaburan hartanahnya turut mencatatkan kerugian sebanyak RM5.0 juta berbanding keuntungan sebanyak RM500,000 pada suku pertama 2020 berikutan perolehan yang merosot, susulan daripada konsesi sewa yang diberikan kepada penyewa semasa pelbagai fasa PKP, menurut syarikat itu.

“Segmen riadah dan hotel turut mencatatkan kerugian yang tinggi sebanyak RM10.4 juta berbanding RM5.4 juta pada suku tahun sebelumnya, berikutan perolehan yang rendah daripada perolehan golf, acara dan program dengan penutupan sementara perniagaan semasa tempoh PKP,” katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2020, Sime Darby Property mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM67.61 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM470.33 juta pada separuh pertama 2019, manakala perolehan merosot kepada RM764.96 juta daripada RM1.44 bilion sebelum ini.

Mengenai prospek, kumpulan itu menjangka pemulihan ekonomi secara berperingkat berikutan pakej rangsangan kerajaan dan semakan semula dasar, seperti Kempen Pemilikan Rumah 2020 dan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.75 peratus.

“Dasar-dasar ini memberi prospek yang baik kepada sektor hartanah dan menggalakkan pembelian hartanah sebagai kelas aset pelaburan jangka panjang,” katanya.

Kumpulan menyifatkan separuh pertama 2020 sebagai sukar dan mencabar, bagaimanapun, ia telah menyaksikan tanda-tanda pemulihan ekonomi yang baik.

“Kedudukan jangka panjang kumpulan kekal baik, seperti yang dapat dilihat daripada asas yang kukuh dan kedudukan kewangan yang berdaya tahan dengan nisbah tahap kadar hutang bersih pada masa ini sebanyak 27 peratus.

“Oleh itu, kami mempunyai potensi untuk memanfaatkan prospek yang lebih baik hingga 2021,” katanya. – BERNAMA

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button