Nasional

Silat wajar dijadikan sebahagian gaya hidup Keluarga Malaysia

Seni silat seharusnya menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini yang membentuk karakter peribadi dan disiplin bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mahu melihat seni silat akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan selain terus relevan sepanjang masa.

Menurutnya, silat telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan budaya Melayu ini terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.

Menegaskan perkara tersebut Perdana Menteri berkata, seni silat juga sudah terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

Sehubungan itu katanya, budaya persilatan yang telah lama bertapak ini perlu dikekalkan agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Seni silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, tetapi ia juga membentuk keterampilan dan jati diri mereka yang mempelajarinya.

“Malah, ia juga mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam.

“Silat kini telah berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama. Perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap serta menutup Kejuaraan Pencak Silat Sedunia ke-19 2022 yang berlangsung sejak Selasa dan berakhir hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa
(Persilat), Datuk Seri Prabowo Subianto; Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Jawatankuasa Induk dan Pelaksana, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sejurus selepas majlis perasmian penutupan Perdana Menteri turut menyaksikan dua pertarungan iaitu pesilat negara, Mohd. Al Jufferi Jamali menentang Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia bagi kelas F dan pertembungan Adilan Chemeng dari Thailand berdepan Hanifan Yudani Kusumah dari Indonesia.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, rakyat sepatutnya berbangga kerana dunia persilatan Melayu telah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah telah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

Terbaharu kata Perdana Menteri, Pesaka dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan silat sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), satu lagi pengiktirafan tertinggi buat Malaysia.

Mengenai penganjuran Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 beliau berkata, ucapan syabas wajar diberikan kepada Pesaka atas komitmen dan kesungguhan menganjurkan acara bertaraf dunia dan meletakkan martabat seni silat ke satu tahap lebih tinggi.

“Terima kasih kepada Persilat yang memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah pada kejohanan kali ini.

“Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada pesilat-pesilat dari seluruh negara yang bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang enam hari kejohanan ini dianjurkan di Melaka.

“Malam ini saya umumkan dana sebanyak RM1 juta diberikan buat Pesaka,” ujarnya lagi.

Menurutnya, penganjuran kali ini adalah satu penghormatan besar kepada negara, sebagai tuan rumah kepada lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian dalam kejuaraan ini.

Katanya, Malaysia berbangga dan berbesar hati kerana dapat menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia dan berharap lebih banyak lagi acara sukan berprestij seumpama ini, dapat dianjurkan.

Jelasnya, penganjuran kejuaraan di bumi bersejarah ini amat signifikan memandangkan negeri Melaka kaya dengan peristiwa-peristiwa penting berkait dengan pahlawan Melayu yang tersohor, berjuang mempertahankan agama dan tanah air terutama ketika zaman Kesultanan Melaka.

Perdana Menteri menambah penganjuran Kejuaraan Silat Dunia ini sudah pasti akan mencipta satu lagi sejarah keluarga silat dan seni mempertahankan diri di dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar.

“Menang atau kalah adat pertandingan. Tetapi apa yang lebih penting, jadikan kejohanan ini sebagai platform memperkukuhkan hubungan sesama pesilat, bertukartukar pandangan dan pendapat demi mencapai masa depan silat yang lebih cemerlang,” ujarnya. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button