Sukan

Silat dunia: Sembilan pesilat negara mara ke akhir

Sembilan daripada 17 pesilat negara mengesahkan kemaraan ke peringkat akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Selepas tiga emas diraih dalam acara artistik semalam, sasaran tujuh emas yang diletakan kian menjadi kenyataan apabila sembilan pesilat berpeluang memburu gelaran juara daripada 24 pingat yang ditawarkan.

Sandaran diletakkan di bahu empat pesilat lelaki dan lima wanita bagi kategori masing-masing untuk menuai emas apabila pentas akhir bermula pukul 10.00 pagi.

Dua pesilat pilihan negara iaitu juara dunia lelaki tiga kali, Mohd. Al Jufferi Jamari dan juara dunia wanita empat kali, Siti Rahmah Mohamed Nasir menepati ramalan melepasi saingan separuh akhir hari ini.

Kedua-dua atlet negara itu mendapat penghormatan akan beraksi di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan pukul 8.00 malam.


Siti Rahmah Mohamed Nasir (kanan) berdepan Nur Shaqira Sheikh Alaudin di separuh akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di MITC, Ayer Keroh, Melaka

Bagi kategori lelaki yang turut mara ke final ialah pemenang pingat gangsa Sukan Sea Hanoi tahun lalu, Muhammad Robial Sobri, Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aizad Akbar.

Manakala empat lagi atlet wanita yang layak ialah Nor Farah Mazlan, Siti Shazwana Ajak, Olivia Chong dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.

Dalam aksi akhir esok, Mohd. Al Jufferi yang menundukkan Zetout Abdelmalek dari Algeria 48-17 bakal berdepan cabaran getir Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia yang mara selepas menang 36-15 mengatasi Nguyen Thi Tra My dari Vietnam bagi kelas F.

Buat Siti Rahmah yang memburu gelaran kelima mengetepikan Nur Shaqira Sheikh Alaudin dari Singapura dengan 38-16 pula dijadualkan berdepan pesilat dari Vietnam, Quang Thi Thu Nghia yang mengalahkan Dyah Purnama Sari dari Indonesia 49-30 bagi kelas F.

Muhammad Robial mudah mengetepikan saingan Earl Hurburt dari Amerika Syarikat (AS) bagi kelas I dengan keputusan 47-14. Dalam aksi akhir dia akan berdepan seteru utama Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin yang menewaskan Saranon Glompan dari Thailand 34-30.

Dalam kelas A pula, Nur Farah yang menewaskan Dinda Nuraidha dari Indonesia dengan 73-55 akan berdepan Nadhrah Sahrin dari Singapura apabila menundukkan Firdao Duromae dari Thailand 30-24.

Siti Shazwana pula menang 59-19 ke atas Dao Thi Hong Nhung dari Vietnam untuk menempah tempat ke final bertemu Atifa Fismawati dari Indonesia apabila tewaskan Kozokova Sarvinoz dari Uzbekistan 61-3 bagi kelas D.

Bagi kelas Terbuka 1, Olivia Chong berasal dari Sarawak pula mengetepikan Nguyen Thi Tra My dari Vietnam 29-25. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button