AgamaNasionalNegeri

MAIPs agih RM20 juta operasi Institusi-Institusi Pendidikan Islam – Raja Muda Perlis

MAJLIS Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengagihkan sumbangan kira-kira RM20 juta bagi membantu operasi Institusi-Institusi Pendidikan Islam di Perlis tahun lalu.

Ia melibatkan sekolah-sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan juga sekolah agama yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Ini jelas menunjukkan MAIPs sentiasa komited memberikan penumpuan kepada agenda pemantapan pendidikan Islam di negeri ini.

Pendidikan Islam perlu diangkat sewajarnya, sesuai dengan matlamatnya dalam mengimbangi wahyu dan akal seperti yang diajarkan al-Quran dan Al-Sunnah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM67,900 kepada 97 asnaf kariah KampungJejawi Dalam dan Kampung Jejawi Sungai Adam di Masjid Al-Hasan Kampung Jejawi Dalam.

Masing-masing menerima RM700 setiap seorang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menerima mengadap Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamri Mohd Shafik dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Mohd Anuar Abd Ghani yang melaksanakan Konvensyen Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) JAKIM dan Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) MAIPs sempena program tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi Raja Muda memaklumkan bahawa, “Sebagai usaha memantapkan lagi pendidikan Islam di peringkat rendah, MAIPs juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.2 juta melalui JAIPs bagi pelaksanaan Program Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs), Tadika Islam Perlis dan Program Pemantapan Pendidikan Islam bagi tahun 2023 ini.

Untuk rekod, JAKIM telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi pembiayaan emolumen kepada 740 orang Guru KAFA di seluruh Negeri Perlis. – SM

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button