Rencah Hidup

Sikap perikemanusiaan, bantu yang susah dan perlukan bantuan

BANTUAN Bakul Makanan bagi membantu mana-mana individu atau keluarga yang keputusan bekalan makanan di rumah dan program itu tidak pula disyaratkan pemohon perlu berdaftar sebagai kariah dengan mana-mana masjid, surau atau madrasah di seluruh negara.

Bakul Makanan Prihatin untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan, agama atau apa sahaja kerana pandemik Covid-19 tidak memilih darjat dan keturunan untuk dijangkiti.

Baru-baru ini, terlintas di Facebook catatan seseorang tentang sepasang suami-isteri bersama dua orang anak mereka termasuk yang berusia bawah setahun, menaiki motosikal untuk mendapatkan Bakul Makanan.

Membonceng isteri dan anak-anak memang berisiko apabila menggunakan kenderaan dua roda ini tetapi disebabkan si suami/ayah tidak mahu meninggalkan anak-anak dan isteri di rumah, maka dibawanya sekali menaiki motosikal.

Dipendekkan cerita, keluarga ini gagal mendapatkan Bakul Makanan kerana perlu berdaftar sebagai kariah di masjid berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

Tidak boleh ambil Bakul Makanan daripada masjid atau surau atau madrasah di tempat lain. Wah! Sampai begitu sekali syarat yang diletakkan.

Dan ada pula yang memberi pencerahan panjang lebar tentang mengapa keluarga ini pulang dengan tangan kosong. Tak kisahlah apa juga yang dicatatkan tetapi atas dasar perikemanusiaan, apakah kalau diberi satu Bakul Makanan kepada keluarga ini, keluarga lain hilang hak ke atas bantuan Bakul Makanan berkenaan?

Tak perlulah nak sebut kejadian ini berlaku di lokasi mana, siapa tau, taulah. Siapa tak tahu, tidak mengapa. Baca sahaja catatan saya.

Dalam keadaan hari ini, ramai yang memerlukan bantuan kerana kesempitan kewangan. Hilang pekerjaan, tiada punca pendapatan dan Bakul Makanan Prihatin yang dihulurkan tidak seharusnya diletakkan syarat itu dan ini. Ada syarat secara tiba-tiba pula.

Cukup dengan meletakkan kepercayaan bahawa sesebuah keluarga itu memang benar-benar berada dalam kesempitan dan bantuan Bakul Makanan ini sekurang-kurangnya dapat meredakan bebanan kelaparan didalam rumah.

Jika berlaku ketirisan atau ketidakjujuran pada pihak yang mengambil bantuan Bakul Makanan, Tuhan tahu.

Teringat pula satu perkongsian terdahulu di Facebook tentang dua wanita mengambil bantuan makanan asasi secara berlebih-lebihan.

Perbuatan mereka dirakamkan oleh kamera CCTV dan ditularkan di Facebook. Memalukan dan menjengkelkan sungguh tetapi ada juga yang mahu bersangka baik dengan mengatakan, dua wanita ini mengambil secara berlebih-lebihan untuk diberikan kepada jiran tetangga.

Iyalah dan apa pun, Tuhan nampak, Tuhan tahu. Tidak kiralah apa agama yang dianuti, apa kepercayaan anda tetapi dalam keadaan hari ini, biarlah jujur sejujurnya.

Malam tadi, ada satu video perkongsian di Facebook tentang seorang wanita warga emas yang berusia lebih 80 tahun, tinggal di daerah Selising dan berniaga di kaki lima.

Sedih dan sebak kerana nenek ini menjawab secara jujur, sudah dua hari dia tidak menjamah nasi. Luluh perasaan menonton video ini.

Tup tap, jawapan daripada orang perseorangan, katanya nenek ini dapat bantuan daripada JKM bla…bla…bla. Persoalannya, bantuan itu memang sampai ke tangan nenek ini atau dimanupulasi oleh individu (wallahhualam tak tau siapa) yang memegang kad bank pengeluaran wang nenek berkenaan?

Lebih menyedihkan, untuk mempertahankan kemuliaan pihak yang menulis mewakili JKM, dikatakan nenek ini tidak mengemas rumah, tidak memasak, hanya membeli makanan di kedai. Adoi.. Umur lebih 80 tahun dah nenek ini. Fikirlah jika dia masih ada kudrat untuk mengemas dan memasak.

Apa kata kita semua jangan menuding jari atau mencari kesalahan orang lain sebaliknya jika kita tahu ada yang memerlukan bantuan, kita cuba hulurkan.

Kalau tiada kemampuan, hubungi SUARA MERDEKA kerana ada caranya untuk kita sama-sama membantu mereka yang benar-benar daif, tersepit dan terhimpit kehidupan.

Seperkara lagi, jangan bosan atau fedup buat kerja yang dipertanggungjawabkan. Kerja adalah satu ibadah dan bantu mereka yang memerlukan walaupun di luar bidang tugas kita, adalah saham akhirat. – SM

(Visited 415 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button