fbpx
Nasional

Sikap pemimpin UMNO punca Utusan Melayu berkubur

KUALA LUMPUR – Pada 9 Oktober 2019 atau 91019, boleh dikatakan secara rasminya syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang diperbadankan di Singapura pada tahun 1938 menghembuskan nafas yang terakhir.

Pada pukul 10 pagi, satu memo dikeluarkan daripada pejabat Pengerusi Eksekutif yang mengatakan Utusan Melayu akan menawarkan penggulungan sukarela dengan segala aset dan pengurusannya diletakkan di bawah lequidator. Kakitangan perlu mengosongkan bangunan menjelang pukul 1 petang dan sehingga pukul 6 petang 10 Oktober untuk mengambil barangan peribadi.

Menariknya, ramai yang seronok dan mengucapkan tahniah bahawa tokoh perniagaan terkemuka, Syed Mokhtar Al-Bukhary muncul sebagai hero menyelamatkan Utusan.

Realitinya bukan seperti itu. Syed Mokhtar tidak menyelamatkan Utusan Melayu. Syed Mokhtar tidak berminatpun untuk menyelamatkan syarikat bermasalah seperti Utusan. Beliau hanya berminat dengan produk yang dibangunkan oleh Utusan Melayu dengan darah dan air mata iaitu akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Lesen penerbitan dua akhbar ini telah dipindahkanmilikkan kepada syarikat yang sahamnnya 70 peratus dimiliki Syed Mokhtar.


Akhbar jawi Utusan Melayu yang turut berkubur bersama syarikat Utusan Melayu.

Syarikat itu pada mulanya dinamakan Dilof Sdn Bhd dan kemudiaanya menjadi Media Mulia Sdn Bhd.

Dengan pemindahan pemilikan itu, Utusan Melayu tidak ada lagi produk untuk diniagakan.

Maka jadilah Utusan Melayu seperti ibu tua yang dibiarkan mati keseorang tanpa ada yang peduli akan jasanya selama ini kepada bangsa dan negara, terutama kepada pemimpin-penimpin UMNO.

Dengan matinya Utusan Melayu, turut terkubur perjuangan memartabatkan tulisan jawi kerana Syed Mokhtar hanya ambil alih produk yang ada nilai komersial iaitu akhbar rumi Utusan Malaysia dan Kosmo.

Sedangkan Utusan Melayu ada lagi satu produk perjuangan bangsa iaitu akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan secara digital dan portal berita dalam tulisan jawi sepenuhnya iaitu utusanmelayu.com.my.

Apabila keputusan dibuat atas pertimbangan perniagaan dan komersial, tentunya tidak ada perasaan untuk mempertahankan warisan atau khazah bangsa seperti penerbitan jawi Utusan Melayu.

Tetapi Syed Mokhtar bukanlah penyumbang kepada berkuburnya Utusan Melayu yang dibangunkan hasil daripada kutipan derma dan sumbangan orang Melayu satu ketika dahulu.

Antara yang memainkan peranan dalam menguburkan Utusan Melayu adalah bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak sendiri.

Sikap acuh tidak acuh beliau terhadap usaha menyelamatkan Utusan Melayu dan kelambatan beliau untuk bertindak menyebabkan Utusan Melayu terus tersepit dan nazak.

Pemilihan kepimpinan dan Pengurusan Utusan Melayu yang lemah serta tidak ada kredibilti dan integriti terus merosakkan reputasi Utusan Melayu sebagai organisasi media.

Selepas Pilihanraya Umum 13 (PRU13), Utusan Melayu sudahpun hidup dengan bantuan alat pernafasan.

Dengan Barisan Nasional hanya menang tipis Ketua Pengarang ketika itu telah berjanji akan melepaskan jawatan selepas PRU13.

Namun di sebalik isu integriti dan tadbir urus yang lemah, ketua pengarang tidak mengotakan janji tersebut dengan alasan Perdana Menteri iaitu Najib masih mahukannya terus berkhidmat dan terus membantu Najib untuk PRU14 pula.

Selain ketua pengarang, barisan pengurusan utama yang lemah dan tidak ada pengalaman korporat turut meletakkan Utusan Melayu dalam keadaan sukar untuk keluar dari kemelut yang dialami.

Ditambah pula dengan mentera ‘tak kan UMNO akan membiarkan Utusan mati’ yang dibacakan oleh ketua pengarang dalam hampir setiap pertemuan dengan kakitangan menjadikan semua urusan berjalan seperti biasa, tanpa ada usaha untuk berubah.

Rayuan kakitangan Utusan supaya pengurusan yang tidak ada integriti ditukar juga tidak diendahkan.

Gusar dengan keadaan ini kakitangan yang mula risau melalui kesatuan iaitu NUJUM dan KKPA telah menemui kepimpinan UMNO mengadu apa yang sebenarnya berlaku dan sangat perlu ketua pengarang dan pengerusi eksekutif ketika itu digantikan oleh individu yang lebih dinamik.

Malah kakitangan bawahan yang merupakan suara akar umbi melalui kesatuan telah menghantar memorandum kepada Najib supaya sesuatu dilakukan terhadap peneraju di Utusan Melayu ketika itu.

Apa yang Najib buat? Najib hanya bertanya kepada para penasihat dan para setiausahanya yang selalu mendapat manfaat daripada ketua pengarang Utusan melalui pemaparan aktiviti mereka di ruang-ruang utama akhbar Utusan Malaysia.

Sudah tentu mereka ini memberikan jawapan yang okey kepada Najib, ketua pengarang perlu dikekalkan kerana telah menjaga mereka dengan baik.

Sedangkan ketika itu Utusan Melayu berhadapan dengan isu integriti dan imej teruk hingga orang Melayu sendiri tidak lagi baca Utusan Malaysia. Malah dilabelkan sebagai Utusan Meloya.

Nampak cukup ketara Najib tak ambil peduli suara kakitangan Utusan Melayu yang telahpun dapat menghidu bahaya yang bakal tiba.

Kalau Najib tidak mahu mendengar rintihan kakitangan bawahan tidak jadi hal, namun, cadangan dari golongan korporat untuk selamatkan Utusan sebelum PRU14 pun dipandang dingin.

Prihatin dengan kedudukan Utusan Melayu dan atas rasa tanggungjawab untuk memastikan institusi Melayu itu terus berdiri teguh, sekumpulan ahli korporat yang tidak berkepentingan telah merangka formula untuk menyelamatkan atau memberi nafas baharu kepada Utusan Melayu melalui konsolidasi beberapa perniagaan UMNO dengan akhbar itu.

Secara dasarnya Najib setuju, tetapi beliau tidak bertindak atau terlalu lambat untuk bertindak.

Penghalang kepada usaha konsolidasi untuk menyelamatkan Utusan Melayu sebelum PRU14 adalah warlord-warlord dalam UMNO yang mahu membolot perniagaan UMNO untuk kepentingan mereka.

Hanya Najib yang boleh memberi kata putus bagi memveto kedegilan para warlord UMNO itu. Malangnya tidak ada apa-apa tindakan daripada pihak Najib.

Formula menyelamatkan Utusan yang dirangka secara komprehensif dan kajian perniagaan yang teliti demi menyelamatkan institusi Melayu itu dibiar tergantung tanpa tali.

Selepas BN tewas pada PRU14, formula itu dibangkit dan dicadangkan sekali lagi kepada kepimpinan UMNO selepas Najib, tetapi tetap menerima nasib yang sama.

Menyelamatkan Utusan Melayu bukan keutamaan kepada Najib dan kepimpinan UMNO walaupun formula yang dikemukakan tidak menerlukan mereka atau parti mengeluarkan apa-apa belanja.

Mereka boleh menyelamatkan kroni lain yang berbilion ringgit tetapi tidak Utusan Melayu yang telah berjasa kepada mereka walaupun nilainya hanya sekadar puluhan juta ketika itu.

Kerana sikap kepimpinan UMNO yang memandang remeh akan survival Utusan, akhirnya syarikat Utusan Melayu, yang diasaskan oleh Yusuf Ishak pada 1938 bagi memperjuangkan suara Melayu terkubur. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button