Nasional

Konon nak tawar diskaun, rupanya helah penipuan

POLIS mengesan kewujudan modus operandi jenayah baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdaya mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti.

“Sindiket akan menawarkan diskaun sekiranya mangsa membenarkan mereka untuk melunaskan bayaran bil utiliti mangsa.

“Sindiket juga memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan tersebut dan mendakwa resit bayaran akan digunakan oleh pihak mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, selepas mendapat persetujuan mangsa, sindiket akan menggunakan ‘cek tendang’ unutk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.

Jelasnya, selepas pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil telah dibuat.

“Pihak sindiket kemudian akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga.

“Mangsa hanya akan sedar ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek-cek yang dimasukkan,” katanya.

Ujarnya, sehingga kini satu laporan polis telah diterima pada bulan ini melibatkan kerugian berjumlah RM8,500.

Tambahnya, orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa penipuan sindiket ini boleh tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran. -SM

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button