Politik

“Saya serius nak bantu masalah rumah generasi kedua Felda” – Hasnolhadi

KESUKARAN generasi kedua di enam kawasan Felda Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili bukan sahaja mendapat perhatian Calon N36, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas dari Perikatan Nasional (PN) tetapi beliau beriltizam untuk membantu memulakan pembinaan 3,245 rumah.

Hasnolhadi mendengar masalah yang disuarakan oleh penduduk.

Beliau berkata, semua pembinaan rumah itu boleh disegerakan menerusi komitmen untuk mensejahterakan komuniti Felda seperti yang dinyatakan dalam Ikrar Perikatan Nasional untuk rakyat Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Saya memandang serius masalah yang dihadapi oleh generasi kedua Felda Aping Timur, Felda Aping Barat, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter dan Felda Tenggaroh Selatan 1 yang tidak dapat membina  rumah kediaman masing-masing kerana ketiadaan infrastruktur di tempat mereka khususnya jalan, longkang serta bekalan air dan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyempurnakan Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional “Demi Bangsa Johor” dan semalam, beliau merasmikan Majlis Ikrar & Tandatangan AkuJanji Integriti Calon Perikatan Nasional PRN Johor 2020.

Sebagai calon, Mohd Hasnolhadi menzahirkan rasa yakin terhadap ikrar untuk mensejahterakan komuniti Felda menerusi Tunjang 4.

Beliau berkata, keprihatinan terhadap rakyat sangat penting untuk mengubah generasi kedua Felda untuk memiliki kediaman masing-masing dan membina kehidupan dengan keluarga sendiri.

“Saya juga ingin menyampaikan berita gembira kepada komuniti Felda sekiranya PN menerajui Kerajaan Negeri selepas PRN Johor nanti, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah akan ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” jelas beliau seperti mana yang diucapkan oleh Presiden PN pada Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional “Demi Bangsa Johor”.

TURUN padang bertanya khabar supaya calon dikenali penduduk kawasan.

Untuk rekod, kesemua 3,245 lot tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dari kalangan generasi kedua Felda, sejak tahun 2019.

Bagaimanapun, kata Mohd Hasnolhadi, generasi kedua Felda ini tidak dapat membina rumah kediaman masing-masing berikutan ketiadaan infrastruktur di lokasi tersebut.

Komitmen lain yang diikrarkan untuk komuniti Felda termasuk di DUN Sedili adalah tindakan segera meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan tersebut, katanya.

Tambah beliau, PN juga akan memastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih dan disiapkan pada tahun ini supaya dapat disempurnakan dengan segera.

“Kami juga memberi jaminan bahawa projek perumahan generasi baharu FELDA yang terbengkalai tetapi berpotensi untuk dibaik pulih, akan diselamatkan.

“Kita juga akan memperhebatkan penyertaan komuniti Felda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan termasuk pemasaran menerusi e-dagang,” kata Mohd Hasnolhadi. – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button