Politik

Skandal projek RM550 juta, Wira Putra buat laporan polis

PERGERAKAN Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra) membuat laporan polis terhadap skandal projek rundingan terus bernilai RM550 juta yang tular.

Hal demikian susulan satu tangkap layar perbualan melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Menteri Kewangan, Menteri Wilayah Persekutuan dan nama anak Perdana Menteri turut disebut.

Dalam laporan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat dakwaan berkenaan susulan susulan menimbulkan persoalan terhadap integriti Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PDRM juga diminta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat sekiranya tangkap layar perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu adalah benar.

“Sekiranya benar, satu tindakan tegas perlu diambil ke atas Menteri Kewangan dan lain-lain yang terlibat.

“Namun, sekiranya tidak benar, pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pendakwa kerana menfitnah dan menjatuhkan kredibiliti menteri Kerajaan Malaysia.”

Demikian laporan dibuat Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif yang hadir ke Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, tangkap layar perbualan dipercayai melibatkan anggota Kabinet PN itu tular apabila didakwa membincangkan pelaksanaan projek air di Pulau Langkawi.

Susulan itu, laporan media melaporkan perbualan tersebut membincangkan projek didakwa melibatkan anak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Fakhir Yassin Mahiaddin.

Susulan itu, hal berkenaan mendapat reaksi ramai pihak termasuk Menteri di JPM sendiri, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa perkara tersebut disalah faham.

Bagaimanapun, Nasrul Ali Hassan dalam kenyataan berasingan menggesa Muhyiddin dan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil memberikan penjelasan.

“Jika ia adalah sabotaj atau tuduhan fitnah semata-mata, sila buat laporan polis ke atas mereka yang menularkannya.

“Jika tidak, jelas sikap pemimpin politik kerajaan PN saling tak tumpah dengan pemimpin-pemimpin politik kerajaan sebelumnya yang sentiasa mengkayakan anak-beranak,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan dan mengambil tindakan terhadap dakwaan tersebut.

Beliau mendakwa, sekiranya perkara tersebut benar, ia diibaratkan sebagai mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat ketika PN menjadi kerajaan.

“SPRM perlu memandang serius hal ini dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi jika terdapat penyelewengan atau ketirisan yang berlaku melibatkan Menteri-Menteri Kerajaan ini.

“DRM pula boleh buka kertas siasatan sekiranya terdapat laporan menyatakan ia fitnah atau sebalik bagi memastikan segala tindakan adalah telus dan tidak berat sebelah.

“Rakyat pada ketika ini terbeban dengan kurang pendapatan hingga ada yang kehilangan kerja.

“Yang muda mungkin masih mampu mencari jalan, namun yang berusia 40an ke atas akan mengalami kesukaran memperoleh pekerjaan.

“Hendak minta keluar KWSP sendiri pun punyai syarat ketat dan kena lalui proses yang panjang.

“Tetapi, pemimpin kerajaan PN boleh pula dapat projek rundingan terus yang silap-silap keuntungannya tujuh keturunan tak habis makan,” tempelaknya. – SM

(Visited 1,017 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button