Nasional

Sidang Parlimen hibrid langkah murni pastikan demokrasi berfungsi – Rais

Pelaksanaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara hibrid merupakan suatu usaha yang murni dan amat membina.

Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, langkan itu memastikan bahawa Parlimen sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi terus berfungsi.

“Usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak Legislatif dan Eksekutif amat objektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh Ahli Parlimen dan para Senator mengatasi ancaman COVID-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa dan keseluruhan kes menjangkau 616,815.

“Dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini kuasa-kuasa Eksekutif dan Legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan,” katanya.

Jawatankuasa Khas bagi membolehkan Parlimen bersidang telah mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lepas dan akan meneruskan mesyuarat susulan esok.


Ia dianggotai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, ; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen.

Jawatankuasa itu meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan persidangan secara hibrid dari pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain.

“Jika cadangan persidangan hibrid ini diterima dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, suatu proses persidangan inovatif akan muncul di mana persidangan secara tradisional “bersidang di dalam Dewan”, bagi memastikan syarat minimum korum persidangan dipatuhi dan juga “bersidang secara maya”,” kata Rais.

Jawatankuasa Khas tersebut meneliti beberapa aspek penting khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baru untuk diterima pakai demi memastikan antaranya tiada sebarang pelanggaran perundangan yang melibatkan prosidur operasi standard (SOP) COVID-19 yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

Menurut Rais, SOP Covid-19 melibatkan pelbagai implikasi bukan sahaja dari segi perundangan termasuk Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan tetapi juga ketentuan baru berkaitan kelakuan serta tingkah laku Ahli-ahli Parlimen sendiri selain hal-ehwal prasarana dan kelengkapan Legislatif.

“Jawatankuasa Khas juga secara khusus mengambil kira himpitan pandemik COVID-19 yang melanda negara dan rakyat pada hari ini serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan Pemerintahan Raja Berperlembagaan.

“Selain itu, Jawantankuasa Khas turut sama mengambil kira implikasi kuatkuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas para pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemaskini prasarana yang sedia ada membabitkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 Senator yang bertebaran di seluruh tanah air,” kata Rais.

Pada 4 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Jemaah Menteri pada 3 Mac lalu membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat selepas mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Hal itu kerana Perkara 150 (2B) dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.-SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button