EkonomiNasional

KPKM akan pastikan bekalan telur kembali normal – Mohamad Sabu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyedari keperluan bekalan telur ayam yang merupakan makanan seharian berprotein yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Mohamad Sabu menjelaskan, dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan, masalah kekurangan bekalan telur ayam perlu diselesaikan.

“Sebagai pelan jangka pendek, Kementerian telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam Negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.

“Kementerian akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan Kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad Sabu berpendapat inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam Negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada, dan Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini,” katanya.

Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam Negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif. Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak.

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button