Politik

Sidang media khas Anwar esok adalah palsu

JEMPUTAN kepada pengamal media untuk membuat liputan sidang media khas Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim esok adalah palsu.

Dalam jemputan yang disebarkan ke kumpulan WhatsApp media itu kononnya mendakwa Ketua Pembangkang itu akan membuat satu pengumuman penting  ‘demi negara dan mandat rakyat.

Jemputan palsu itu kononnya dibuat oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan sidang media terbabit akan berlangsung pada pukul 3 petang di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

“Rakan-rakan media dijemput untuk hadir bagi sidang media penting ini, serta diingatkan agar sentiasa mematuhi segala SOP berkaitan Covid-19,” tulis jemputan palsu berkenaan.

Sementara Fahmi yang menafikan berlangsungnya sidang media itu berkata, beliau hanya akan menghantar jemputan kepada media melalui saluran rasmi utama parti itu.

“Saya tidak akan hantar kepada wartawan secara individu,” kata Fahmi ketika ditanya oleh wartawan mengenai sidang media khas terbabit.

Anwar sekali lagi menjadi perhatian apabila beberapa media melaporkan Ahli Parlimen Port Dickson itu dikhabarkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengemukakan bukti bahawa beliau kini mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi dari kalangan ahli Dewan Rakyat.

Menurut laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

seorang pegawai menteri memberitahu, usaha terbaharu Anwar itu bukan sekadar khabar angin.

“Dengarnya usul itu akan cuba digerakkan sebelum Dewan Rakyat tamat pada Khamis depan (17 Disember 2020).

“Berkemungkinan Anwar akan umum perkara ini esok atau lusa. Tetapi kami dengar ia akan berlaku sewaktu ‘3rd reading Budget’ (Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021), hari Selasa. Heard this time with SDs (kali ini dengan SD),” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Anwar pada September lalu mendakwa dirinya sudah mempunyai jumlah sokongan yang disifatkan ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Beliau kemudiannya diperkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 13 Oktober untuk mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti ahli Parlimen yang diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebaik selesai sesi menghadap itu berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-SM

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button