Ekonomi

TYT Melaka kagum kepesatan pembangunan Perlis

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam menyatakan kekaguman beliau terhadap perubahan pesat dan kemajuan yang sedang dialami oleh negeri Perlis dan berharap agar semua pihak sentiasa menghargai keindahan alam yang merupakan aset berharga di negeri Perlis.

Beliau turut teruja melihat keindahan di Kampung Nelayan Warna-warni yang telah mengalami proses perubahan melalui ‘Projek DiRaja Program Transformasi Kampung’ oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi dan juga ahli-ahli masyarakat setempat secara umumnya.

Menurut Tun Mohd Ali, apa yang telah dilaksanakan ini amat baik dan berpotensi untuk menggamit para pelancong dengan penambahan elemen kebersihan dan keindahan selain mewujudkan lebih banyak tempat-tempat penginapan melibatkan kerjasama penduduk seperti inap desa dan motel pelancongan.

Demikian dikongsikan beliau kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di akhir program ‘Kayuhan MAIPs Peduli (Khas) Kali ke-25 bagi tahun 2022’ di sekitar Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang diadakan penutupannya di Pengkalan Lama Pulau Ketam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Turut hadir, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman.

Yang Dipertua Negeri Melaka berada di negeri Perlis dari 27 hingga 30 Mac 2022 bagi menghadiri Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) sempena sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Tuanku Canselor di Istana Arau.

Beliau dan Toh Puan turut menghadiri ‘Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2020 USM’ yang diadakan di Mess Pegawai Kanan PDRM di Jalan Raja Muda, Kangar yang dirasmikan oleh Tuanku Raja dan juga Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Ketika di Perlis pada kali ini, selain mengiringi Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda dalam program berbasikal amal tersebut, Tun Mohd Ali juga meluangkan masa untuk melawat Ladang Harumanis Aji Heritage Farm di Utan Aji, Superfruits Valley di Chuping, mendapat taklimat berkenaan pembangunan IBC CVIA di Chuping, Padang Besar dan juga Taman Rimba Herba di Bukit Ayer.

Ketika di Kampung Nelayan Warna Warni itu juga beliau yang disambut dengan penuh ramah dan meriah sekali oleh kepimpinan masyarakat setempat turut merasmikan ‘Rumah Melaka’ yang dicat indah dengan warna bendera negeri Melaka di Kampung Seberang Alor yang diselaraskan pelaksanaannya oleh Rejimen 504 Askar Wataniah.

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button