Nasional

Raja Muhammad Faiz terima Anugerah Presiden di Majlis Konvokesyen MMU 2023

DENGAN berbekalkan latar belakang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan cemerlang dalam akademik, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Raja Muhammad Faiz Raja Ismail diumumkan sebagai penerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen MMU 2023 di sini.

Graduan berasal dari Kuala Terengganu itu berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.99.

Menurutnya, beliau terkejut apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut kerana berpendapat ramai graduan lain yang turut cemerlang dalam pengajian mereka.

“Saya rasa terharu dengan kejayaan ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang yang memainkan peranan penting dalam menyokong saya sepanjang perjalanan akademik saya, terutamanya ibu bapa, ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan saya,” ketika ditemui pad ahari pertama Majlis Konvokesyen 2023 di sini, pada 2 Disember 2023.

Raja Muhammad Faiz juga adalah penerima Anugerah Permata, pengiktirafan sebagai pelajar terbaik bagi Fakulti Pengurusan.

Sebagai Pengasas dan Naib Presiden Kelab Bursa Young Investor Club dan Presiden kepada Persatuan Fakulti Pengurusan (FOMS), Raja Muhammad Faiz berkata, penat-lelahnya selama ini terbukti berbaloi.

Menurutnya, kunci kepada kejayaannya ialah sentiasa melakukan sesuatu pekerjaan dengan fokus dan bersungguh-sungguh selain perlu bijak membahagikan masa antara kelas dan kegiatan luar kelas, serta memberi tumpuan di dalam kelas.

Sementara itu, majlis konvokesyen itu turut menganugerahkan Anugerah Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Pengkhususan Telekomunikasi, Lim Min Ying.

Lim Min Ying yang bergraduasi dengan CGPA 3.95 adalah pelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum termasuk mewakili Malaysia dalam beberapa acara antarabangsa.

“Sebagai pemimpin pelajar, saya bertuah kerana diberikan peluang untuk menceburi pelbagai bidang seperti kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawan.” kata Lim Min Ying.

Majlis konvokesyen ini berlangsung dari 2 hingga 4 Disember 2023 bagi meraikan 3,477 graduan di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah. Penganugerahan skrol disampaikan oleh Canselor MMU, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dan Pro-Canselor MMU, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid. – SM

Baca : Cucu terharu Mat Sentol dihargai

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button