Negeri

Sibu tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020

BANDAR Sibu akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Beliau berkata, keputusan memilih bandar berpopulasi kira-kira 200,000 penduduk itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia 2020 bersama, di antara kerajaan negeri dan Persekutuan pagi tadi.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan seluruh rakyat Sarawak yang sudi menjadi tuan rumah sambutan hari bersejarah itu buat kali kedua berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Hari Malaysia dan majlis pelancaran logo Bulan Kebangsaan 2020 di Auditorium Bangunan Pelita.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom yang juga bertindak selaku menteri negeri bertanggungjawab bagi sambutan Hari Malaysia 2020.

Sambutan Hari Malaysia pada tahun lepas telah diadakan di Stadium Perpaduan Kuching yang dihadiri oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Abang Johari.

Mengikut kebiasaannya sebelum ini, tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia diselang-selikan di antara Sarawak dan Sabah sejak 2012 dengan Sarawak menjadi tuan rumah pertama.

Bagaimanapun aturan ini tidak diikuti pada tahun 2018, apabila Sabah yang menjadi tuan rumah pada tahun sebelumnya dipilih lagi untuk menjadi lokasi sambutan. – BERNAMA SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button